HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Februari 2009

Rancangan pengurusan air di negeri Selangor cuba digugat

Muhammad Arif Ismail


SHAH ALAM - Rancangan penstrukturan semula pengurusan air di negeri Selangor dengan mengambil alih aset dan ekuiti daripada syarikat konsesi air di negeri ini digugat angkara tindakan kerajaan persekutuan yang sengaja menganggu usaha pengambilan semula pengurusan air.

Perkara ini didedahkan oleh seorang ahli panel penilai air, Fahda Nur berkata, Kerajaan persekutuan sudah sedia maklum bahawa kerajaan negeri telah mengeluarkan satu tawaran untuk mengambil alih pengurusan air di Selangor," katanya.

Namun katanya, pada 18 Febuari lalu kerajaan persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membuat satu pengumuman bahawa mereka akan mengadakan rundingan terus kepada empat syarikat konsesi ini.

"Kalau ada dua tawaran yang berbeza, satu tawaran yang sudah dijanjikan dan ada orang datang pun nak berunding, sudah tentu tawaran itu tidak akan diterima dan tawaran negeri Selangor itu akan ditolak oleh kerajaan Persekutuan.

"Mereka kononnya memberi alasan kenapa tidak mahu meneruskan rundingan mengenai isu ini adalah harga yang ditawarkan oleh kerajaan negeri Selangor adalah rendah.

"Mereka hanya mahu menolak tawaran yang dibuat kerajaan negeri," beliau berkata demikian selepas ditemui dalam taklimat media, penstrukturan semula pengurusan air di Selangor yang diadakan di Auditorium Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, baru-baru ini.

Padahal menurutnya, pada 16 Februari 2008, kabinet telah mengeluarkan arahan dan keputusan bahawa usaha penstrukturan semual industri air di Selangor perlu dilakukan oleh kerajaan negeri dan selaras dengan keputusan kabinet, maka kerajaan negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah memulakan usaha ini.

"Dari awal mereka kata akan memberi kerjasama kepada kerajaan negeri kerana pengambilalih pengurusan air ini akan menurunkan harga air yang bakal memberi faedah kepada seluruh penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Ini merupakan satu matlamat yang adil kepada semua rakyat. Pada masa itu mereka bersetuju, tetapi baru-baru ini pendirian kerajaan persekutuan mengenai isu ini sudah berubah," katanya.

Sementara itu mengikut, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua pula berkata matlamat kerajaan negeri Selangor adalah membekalkan harga air yang murah seterusnya mempertingkatkan persaingan syarikat kerana kos air menjadi murah dan mengekalkan dasar air percuma 20 meter padu air.

"Kenaikan harga air sepatutnya sudah berlaku pada bulan Januari 2009 setelah satu perjanjian antara Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Shaziman Abu Mansor dengan Syabas.

"Namun, kenaikan ini ditunda kepada 31 Mac ini kerana membolehkan proses penstrukturan semula industri air di Selangor. Menurut perjanjian ini penigkatan harga air akan terus meningkat setiap sehingga 2035," katanya.

Dalam perjanjian tersebut katanya, lebih banyak tarif dijangka berlaku. Kenaikan 37 peratus pada tahun 2009, 25 peratus pada 2012, 20 peratus pada 2015, 10 peratus pada 2019 dan lima peratus pada 2021 hingga 2030.

"Syarikat konsesi ini juga dibelenggu dengan jumlah hutang yang sangat besar dengan jumlah RM 6.4 bilion. Dengan jumlah hutang bersih Puncak Niaga, RM1.3 bilion; Syabas, RM 2.9 bilion; Splash, RM 1.6 bilion dan Abass, RM 640 juta," tegasnya.

Menurut beliau lagi, Syabas merupakan syarikat yang mendapat lesen monopoli pengagihan air oleh kerajaan persekutuan dengan prestasi yang buruk iaitu mutu air yang tidak memuaskan, kelewatan penyelesaian masalah air, denda penyambungan semula paip air sebanyak RM 50 lebih rendah ketika sebelum diswastakan iaitu RM 10.

"Serta elaun pengerusi antara yang tertinggi di Malaysia iaitu RM 1.5 juta pada tahun 2007," tegas beliau.

Beliau juga mendesak supaya peranan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Shaziman Abu Mansor yang mempunyai kuasa terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 supaya mempertahankan hak rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sebelum ini, Syabas juga pernah membuat penyelewengan dalam perjanjian konsesi seperti tiada tender terbuka, skandal paip luar negeri iaitu pembelian paip dari syarikat Indonesia yang berjumlah RM600 juta dan dari syarikat milik pengerusi Tan Sri Rozali Ismail yang merupakan pengerusi Syabas dan Puncak Niaga.

Selain itu, terdapat percanggahan nilai kontrak sebanyak RM325 juta semasa pengauditan dan pengubahsuaian sehingga mencecah RM51.2 juta sedangkan kerajaan hanya mempersetujui untuk memperuntukkan RM 23.2 juta. - azm_

Tiada ulasan: