Ramai pemimpin politik terkejut kenaikan terbaru ini
MSTAR ONLINE
[DIKEMAS KINI]
PATTAYA, Thailand: Dalam reaksi segera, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan akan meminta Kabinet menimbang semula kenaikan tol di lima lebuh raya - yang akan dinaikkan di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuat kuasa 1 Mac ini - kerana kenaikan itu tidak sesuai dalam keadaan sekarang.
Perdana Menteri berkata, kajian semula itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet esok yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kabinet akan mengadakan mesyuarat mingguannya esok.
"Kajian semula adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan.
"Selepas itu kita akan buat keputusan yang wajar," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Mesyuarat MenteriMenteri Pertahanan Asean di sini hari ini.
Dipetik Bernama, Abdullah berkata. walaupun kenaikan itu selaras dengan terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya berkenaan, kelulusan yang diberikan Kabinet beberapa minggu lepas mungkin tidak sesuai dengan situasi sekarang.
"Walaupun dipertimbangkan daripada segi syarat-syarat konsesinya patut dinaikkan, tetapi situasi pada masa sekarang ini tidak wajar dinaikkan kerana keadaan rakyat yang susah," katanya.
Sebaliknya, beliau berkata, satu pendekatan baru akan dicari untuk menangani isu itu, termasuk peruntukan dalam pakej rangsangan kedua yang akan dibentangkan di Parlimen 10 Mac.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed hari ini mengumumkan bahawa kenaikan kadar tol itu melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat, Lebuh Raya Bertingkat AmpangKuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Sungai Besi dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).
Abdullah berkata, sejak perbincangan dan keputusan menaikkan tol dibuat Kabinet, keadaan ekonomi tidak bertambah baik dan ini mendorong kerajaan mengeluarkan peruntukan bantuan berupa pakej rangsangan kedua yang akan dibentangkan dalam bentuk bajet mini.
"Kalau kerajaan sendiri telah mengambil pendekatan ini memandangkan rakyat dalam keadaan kesusahan dan di samping itu ekonomi dapat dirangsangkan, saya fikir perkara ini (kenaikan) boleh dibincangkan semula dalam Kabinet mengambil kira situasi yang ada sekarang ini," kata beliau.
Perdana Menteri bagaimanapun enggan menyatakan sama ada keputusan kenaikan itu akan ditangguhkan, sebaliknya berkata, bahawa ternyata sekali rakyat tidak dapat menerima kenaikan itu berdasarkan laporan yang beliau terima.
Sebarang keputusan perlu mengambil kira keadaan sekarang, katanya.
RAMAI TERKEJUT
Beberapa wakil rakyat malahan seorang timbalan menteri terkejut dengan pengumuman kenaikan kadar tol di lima lebuh raya bermula 1 Mac ini.
Dr. Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) menyifatkan kenaikan kadar tol pada masa kini tidak wajar.
"Baru-baru ini sudah diberitahu bahawa kerajaan akan beri keutamaan kepada rakyat dalam apa saja keputusan bila ada syarikat konsesi meminta kenaikan tol, tapi saya terkejut bila dapat maklumat harga tol akan dinaikkan bermula Ahad ini," katanya.
Puad berkata kerajaan seharusnya menangguhkan dahulu kenaikan kadar tol ini sehingga mini bajet dibentangkan pada 10 Mac ini.
Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) tidak menafikan merasai bebanan kenaikan tol biarpun memahami akan perjanjian yang dibuat kerajaan bersama syarikat konsesi lebuh raya.
"Dulu semasa jadi menteri tak pernah bayar tol, saya tak tahu berapa, tak pernah merasa. Tapi sekarang, saya tingggal di Shah Alam dan sering datang ke Kuala Lumpur dan melalui beberapa tol, saya sangat merasai beban tol itu. Kalau saya merasai, orang lain pun tentu merasai," katanya.
Azmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kirakira Wang Negara, berkata beliau faham bahaa terdapat perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi yang mengizinkan kenaikan tol dibuat.
"Dalam perjanjian memang ada kenaikan tol oleh pengusaha tol, memang susah kerajaan nak elak. Kalau boleh kerajaan kaji dengan teliti supaya perkara ini tidak membebankan rakyat, " katanya.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong turut melahirkan rasa terkilan dengan pengumuman kenaikan itu dan meminta kerajaan menelitinya semula.
"Kita masih ada mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini, saya harap perkara ini dikaji semula bagi meringankan beban pengguna jalan," katanya.
Wee turut merayu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan yang akan membentangkan mini bajet pada 10 Mac ini agar memikirkan semula kenaikan kadar tol itu.
Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) turut mempersoal kenapa kerajaan menaikkan tol di saat harga minyak sudah diturunkan.
"Ini satu perkara yang harus kita tolak. Kenaikan ini akan memberi tekanan kepada rakyat kerana harga barangbarang masih tidak diturun ditambah dengan kelembapan ekonomi sekarang, " katanya.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eeng juga berkata, kenaikan kadar tol di lima lebuh raya menjelang 1 Mac ini adalah tidak wajar dan akan menambah beban rakyat terutama di tengah krisis ekonomi global semasa,
Beliau berkata sekarang ini bukan masa yang sesuai untuk menaikkan kadar tol kerana rakyat semakin tersepit dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil dan sudah pasti kenaikan itu akan memburukkan lagi keadaan.
"Kerajaan sepatutnya menunggu keadaan ekonomi kembali stabil ataupun setahun dua lagi untuk menaikkannya," katanya
Lim berkata sebaiknya kerajaan pusat membeli PLIS seperti yang beliau cadangkan sebelum ini, sebagai usaha membantu rakyat.
"Jika kerajaan pusat miliki Plus, rakyat tidak perlu bimbang mengenai kenaikan kadar tol di masa depan terutama dalam keadaan genting seperti sekarang ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan