Mohd Khalil Abdullah
KUALA LUMPUR - "Ikatan Pakatan Rakyat cukup padu tetapi cuba dirungkai oleh sekumpulan pihak yang mempunyai kepentingan politik murahan."
Demikian kenyataan yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Harakahdaily lewat malam tadi berhubung dengan penghargaan atas sokongan padu yang diberikan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang terhadap kepimpinannya.
"Ribuan terima kasih kepada Presiden PAS, atas sokongan padu terhadap kepimpinan negeri Selangor.
"Sokongan ini menunjukkan ikatan Pakatan Rakyat cukup padu tetapi sedang cuba dirungkai oleh sekumpulan yang dilihat berkepentingan politik murahan demi meraihi populariti,"jelasnya.
Berhubung dengan pelbagai isu yang melanda Pakatan Rakyat ketika ini, Khalid menambah, Pakatan Rakyat dalam menghadapi setiap permasalahan dan akan mengadakan mesyuarat dalaman bagi membincangkan setiap isu yang timbul.
"Setiap pandangan yang berbeza berkaitan isu ini akan dibincangkan secara telus dan ilmiah bersama semua pimpinan,"tegasnya.
Cuti Elizabeth dilanjutkan
Sementara itu, menyentuh mengenai isu Exco Pelancongan,Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar,Elizabeth Wong,katanya, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan oleh baginda Sultan Selangor,Tuanku Sharafuddin Idris Shah.
"Kerajaan negeri amat berbesar hati dengan kebijaksanaan Tuanku dalam memberikan pendapat tentang pencerobohan hak peribadi individu.
"Sebagaimana titah Tuanku, perbuatan menceroboh hak peribadi seseorang individu adalah menyedihkan,lebih-lebih lagi digunakan untuk kepentingan politik,"jelasnya lagi.
Tambahnya, pihak kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk memanjangkan cuti Elizabeth sementara menunggu selesainya siasatan pihak berkuasa.
"Sepertimana yang dititah oleh Tuanku Sultan,kerajaan negeri akan membuat keputusan yang adil serta mengambil kira kepentingan rakyat dan negeri Selangor,"tegasnya. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan