MSTAR ONLINE
KUALA LUMPUR: Selangor dan Pulau Pinang hari ini mempertahankan tindakan Pemuda Umno yang mendesak pengerusi DAP Karpal Singh supaya memohon maaf kerana menggunakan perkataan "celaka" terhadap pergerakan itu dan membuat tuduhan melulu tehadap Pemuda Umno.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata Pemuda Umno berhak membantah terhadap provokasi Karpal yang menunjukkan perangai biadab terhadap orang Melayu.
Dalam satu kenyataan, Muhammad yang juga Ketua Penerangan Umno, berkata Karpal sewajarnya lebih faham adab dan adat resam penduduk berbilang kaum di Malaysia.
Di Pulau Pinang, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah berkata Karpal perlu memohon maaf kerana menuduh Pemuda Umno bertanggungjawab terhadap dua butir peluru yang dihantar ke rumah Pengerusi DAP itu.
"Keceluparan Karpal sudah melampaui batas dengan menggunakan istilah yang cukup jijik terhadap Pemuda Umno yang jelas menggambarkan beliau sebagai orang yang tidak menghormati orang lain," katanya.
Di Alor Setar, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, menyifatkan Karpal sebagai pengecut dan tidak bertanggungjawab kerana gagal mengemukakan bukti dalam tempoh 24 jam seperti yang dituntut oleh Pemuda Umno untuk membuktikan bahawa pergerakan itu bertanggungjawab mengirim dua butir peluru bagi mengugutnya.
"Dakwaan Karpal Singh di Dewan Rakyat sebenarnya adalah satu rekaan serta fitnah," katanya sambil mengingatkan Karpal supaya menghentikan provokasi serta tuduhan liar kerana ia boleh menyebabkan seluruh 700,000 anggota pergerakan itu hilang sabar. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan