BERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mencadangkan supaya anggota Umno yang ingin bertanding pada pemilihan Umno Mac depan perlu menandatangani Surat Akujanji menyatakan mereka bebas daripada sebarang salah laku tatatertib dan politik wang.
Timbalan Presidennya Datuk Seri Abdul Aziz Rahman berkata ini adalah perlu supaya calon yang terpilih nanti bebas daripada sebarang kesalahan etika yang akan memalukan nama baik Umno.
"Surat Akujanji ini perlu ditandatangani sebelum tarikh pemilihan kerana kita tidak mahu ada ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dipilih nanti mempunyai kesalahan tatatertib yang boleh memalukan nama baik parti sendiri...kita tengok siapa yang berani tandatangan akujanji ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Aziz juga mencadangkan supaya nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditukar kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Mahathir sebagai menghargai jasa bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah menaikkan imej negara di persada antarabangsa, serta kemampuannya mengelakkan negara daripada menghadapai krisis ekonomi yang teruk pada 1997/1998.
"Jasa beliau dalam membangunkan Malaysia sangat banyak, maka tidak ada salahnya mengenai hal ini kerana di Jakarta juga ada SoekarnoHatta International Airport, " katanya.
Beliau berkata Mubarak akan menghantar kertas cadangan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam minggu ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan