BERNAMA
KOTA BHARU: Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menafikan dirinya telah diperalat pembangkang dalam usahanya memperjuang Bahasa Melayu dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang digunakan sekarang.
Beliau berkata kehadirannya dalam beberapa siri ceramah pembangkang itu tidak seharusnya disalah anggap oleh masyarakat kerana apa yang penting adalah memperjelas kepada umum dalam isu tersebut.
"Bagi saya adalah halal untuk saya bercakap mengenai Bahasa Melayu yang saya perjuangkan tidak kira di pentas politik mana sekali pun.
"Umur saya sudah 76 tahun dan sudah sampai masanya saya memperjuangkan bahasa ibunda saya sebelum hilangnya Bahasa Melayu di muka bumi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sembang Pagi Bersama Sasterawan Negara di Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Baharu di sini, hari ini.
Kehadiran sasterawan negara itu dalam beberapa siri ceramah pembangkang dalam isu PPSMI sejak kebelakangan ini menjadi perhatian umum yang tidak senang Samad berceramah di pentas politik.
Malam ini Samad dijadual turut berceramah dalam satu majlis anjuran PAS di Padang Perdana di sini bersamasama Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mengulas isu itu, Samad berkata beliau bukannya telah "dibeli" oleh manamana parti politik dan akan turut memperjuang isu itu jika dianjurkan oleh Umno dan kerajaan.
"Kalau dituduh begitu (berceramah anjuran pembangkang), itu bukan maksud saya dan saya hadir di situ untuk memperjuangkan bahasa saya," katanya.
Sementara itu, Samad turut kecewa akhbar arus perdana seperti tidak lagi memberi ruang kepada karyawan baru untuk menyiarkan hasil penulisan mereka.
Ketika berucap, Samad menjelaskan selain hasil penulisannya, beliau juga sedang sibuk melukis yang kini hasil lukisannya telah terjual lebih 20 buah.
"Ramai orang tidak tahu saya juga boleh melukis dan saya gembira hasil karya saya yang disimpan sejak beberapa tahun akhirnya sudah mendapat tempat," katanya.
Beliau berkata karya lukisannya itu akan dipamerkan di satu galeri di Dubai tidak lama lagi dan ketika ini 20 lukisannya sedang dalam perbincangan untuk dijual oleh peminat lukisan rakyat Kanada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan