Oleh WAZIHA WAHID
KUALA LUMPUR - Seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam setelah disabitkan bersalah menyamar 'Datuk' untuk menipu pengarah syarikat pembalakan, lima tahun lalu.
Hakim Rozana Ali Yusoff mengarahkan Ismail Che Abdullah, 62, menjalani hukuman tersebut mulai semalam. Bagaimanapun, jika tertuduh gagal membayar denda, Ismail bakal dihukum penjara 10 bulan.
Rozana menjatuhkan hukuman berkenaan setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu di akhir pembelaan.
Ismail didakwa memperdaya Rosmawati Mat Jusoh, 43, yang juga Pengarah Syarikat Regal Blue supaya mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan kerja untuk pengeluaran balak dari Kompartmen 151, hutan simpan balak di Kompleks Perkayuan Kelantan, Sungai Balak.
Tertuduh turut memberikan surat tawaran kontrak pengeluaran balak dari kompleks berkenaan kepada Syarikat Regal Blue (M) sedangkan diketahui dokumen itu adalah palsu.
Tindakan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM28,830 kepada tertuduh. Kesalahan itu dilakukan di No. 22-2, Jalan S/23E, Taman Danau Kota, Batu 4 1/2 Sentul di sini antara November 2003 dan Mac 2004.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan