Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop "benar-benar tak tahu" adakah Malaysia boleh mengelak kemelesetan ekonomi dunia sekarang.
Apabila ditanya sama ada Malaysia boleh mengelak kemelesetan, Bernama memetik beliau berkata: "Saya benar-benar tak tahu kerana terdapat terlalu banyak keadaan tidak menentu sekarang. Enam bulan lalu, kita tidak menjangka dunia akan berada dalam situasi berlarutan seperti sekarang dan kita tidak tahu daripada sekarang, bagaimana keadaan dunia di masa depan".
Menurut beliau, terdapat keadaan tidak menentu yang ketara yang kita harus akui dari segi senario luar terutamanya dari segi sedalam mana, sejauh mana dan selama mana kegawatan ekonomi antarabangsa akan berlaku.
November lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan yakin bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal tahun ini.
Sebelum itu, beliau berkata Malaysia tidak berada di dalam keadaan krisis kewangan dan tidak sepatutnya diperkatakan berada di dalam keadaan sedemikian.
Bagaimanapun, kenyataan Najib itu bertentangan dengan laporan Jabatan Perangkaan yang menunjukkan Malaysia tidak dilindungi dalam suku keempat tahun lalu kerana pertumbuhan ekonomi yang perlahan di semua pasaran utama.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang hanya 0.1 peratus sahaja pada suku keempat 2008 daripada 4.7 peratus pada suku ketiga, yang jelas mencerminkan kesan limpahan keadaan ekonomi global yang kian buruk.
Pengurangan aktiviti pelaburan mendorong kepada pertumbuhan negatif pembentukan modal tetap kasar (-10.2 peratus; suku3: 3.1 peratus) di dalam suku keempat.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pertumbuhan ekonomi yang perlahan dijangka mengekang tekanan bekalan dan permintaan ketara di dalam peningkatan harga domestik.
Trend itu disahkan oleh perangkaan bagi bulan Januari 2009 di mana inflasi berada pada paras 3.9 peratus, kata BNM._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan