HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Februari 2009

Kerajaan tetap syarat guna perkataan "Allah" dalam penerbitan Kristian

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Penerbitan bahan agama Kristian dilarang menggunakan perkataan "Allah" melainkan jika di kulit muka depan penerbitan itu ditulis dengan terang perkataan "UNTUK AGAMA KRISTIAN".

Perkara itu terkandung dalam warta kerajaan P.U. (A) 62 bertarikh 16 Feb 2009 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penggunaan Perkataan Tertentu Pada Dokumen dan Penerbitan) 2009.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri Che Din Yusoh memberitahu dalam satu kenyataan hari ini bahawa perkara itu diputuskan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Perenggan 2.(1) warta itu menyebut: "Percetakan, penerbitan, penjualan, pengedaran dan pemilikan apaapa dokumen dan penerbitan yang berhubung dengan agama Kristian yang mengandungi perkataan "Allah", "Kaabah", "Baitullah" dan "Solat" adalah dilarang melainkan jika di kulit muka depan dokumen dan penerbitan itu ditulis perkataan "UNTUK AGAMA KRISTIAN".

Perenggan 2.(2) Perkataan "UNTUK AGAMA KRISTIAN" yang disebut dalam subperenggan (1) hendaklah ditulis dengan fon jenis Arial bersaiz 16 dalam huruf tebal.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu penggunaan perkataan "Allah" dalam penerbitan berkaitan agama Kristian tidak lagi dilarang seperti terkandung dalam warta baru yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri awal tahun ini.

Peguam Kanan Persekutuan Nizam Zakaria, yang mewakili Pejabat Peguam Negara, memaklumkan mahkamah bahawa Menteri Dalam Negeri, selaku responden pertama dalam prosiding semakan kehakiman itu yang difailkan oleh Ketua Paderi Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur, telah mewartakan perintah bertarikh 21 Jan, 2009, bertajuk 'Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penggunaan Perkataan Tertentu Pada Dokumen dan Penerbitan) 2009'.

Warta itu menyebut "Percetakan, penerbitan, penjualan, pengedaran dan pemilikan apaapa dokumen dan penerbitan yang berhubung dengan agama Kristian yang mengandungi perkataan "Allah", "Kaabah", "Baitullah" dan "Solat" adalah dilarang melainkan jika di kulit muka depan dokumen dan penerbitan itu ditulis perkataan "UNTUK AGAMA KRISTIAN".

Perintah itu diwartakan pada 16 Feb, 2009 dan berkuatkuasa pada tarikh itu. Berikutan perkembangan itu, peguam Porres P.Royan, yang mewakili pemohon, Ketua Paderi Datuk Murphy Pakiam, memaklumkan Hakim Lau Bee Lan bahawa mereka akan mengadakan perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara berhubung mplikasi perintah itu. "Jika, selepas perbincangan kami berasa selesa, dengan itu jelas perkara ini mungkin tidak perlu diteruskan dan didengar. Kami akan maklumkan kepada mahkamah jika kami mencapai penyelesaian.

"Masih terlalu awal untuk kami membuat keputusan," katanya sambil memohon kepada mahkamah untuk memberikan masa dua hingga tiga bulan bagi keduadua pihak sebelum menetapkan tarikh perbicaraan bagi permohonan semakan penghakiman itu.

Terdahulu, Porres memberitahu mahkamah yang beliau akan tetap meneruskan permohonan untuk mengenepikan perintah campur tangan yang dipohon pada 21 Nov tahun lepas oleh tujuh majlis agama Islam negeri Wilayah Persekutuan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Johor dan Melaka dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MCMA) untuk campur tangan dan dinamakan sebagai responden dalam prosiding semakan penghakiman itu.

Mahkamah menetapkan 28 Mei untuk mendengar permohonan itu bersamasama dengan permohonan Majlis Gurdwaras Malaysia untuk turut campur tangan.

Mahkamah juga menetapkan 7 Jun untuk mendengar permohonan tujuh majlis agama Islam negeri dan MCMA, untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan mengenai persoalan perlembagaan. Pada 5 Mei tahun lepas, Datuk Murphy, selaku penerbit The Herald, menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam usahanya bagi diisytiharkan keputusan responden bertarikh 12 Feb, 2008, melarangnya menggunakan perkataan "Allah" dalam "HeraldThe Catholic Weekly" adalah melanggar undang-undang.

Beliau juga memohon perisytiharan yang beliau berhak menggunakan perkataan "Allah" dan perkataan "Allah" bukan eksklusif untuk agama Islam.

Tiada ulasan: