HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Februari 2009

Insiden rampasan Harakah, Suara KeADILan memalukan demokrasi - Nasharudin

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menyifatkan insiden yang berlaku kepada Harakah dan Suara Keadilan amat memalukan dalam proses demokrasi media dalam negara.

Dalam perbahasan Titah Ucapan Yang DiPertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini, Ustaz Nasharuddin menyatakan, akhbar-akhbar ini yang cuba menjawab tohmahan jahat akhirnya dirampas.

"Saya merasa ataupun melahirkan kesedihan sekiranya terdapat pihak media yang dipergunakan oleh ahli-ahli politik untuk membunuh karektor ahli politik yang lain seperti dituduh derhaka, ejen Israel dan sebagainya meskipun perkara tersebut belum terbukti kesahihannya," katanya.

Lebih teruk lagi apabila media yang melaporkan berita-berita untuk menjelaskan tuduhan-tuduhan pula dirampas dan disekat, katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Bachok.

Justeru itu Ustaz Nasharudin menjelaskan etika dalam melaporkan, menerbitkan dan melontarkan idea mestilah dilakukan dengan rasa penuh tanggungjawab dan dedikasi.

Ia selaras dengan titah Yang Dipertuan Agong telah menekankan mengenai kecenderungan sesetengah pihak yang mudah mempercayai fitnah dan berita-berita palsu yang berlegar di ruang maya, kata Ustaz Nasharudin.

Peranan media yang hakiki mestilah menerbitkan kenyataan-kenyataan yang jujur, adil, benar, fakta dan tanpa menimbulkan persepsi yang negatif, tegasnya.

Media juga disarankan agar tidak melaporan isu kontroversi hanya semata-mata untuk mengejar populariti dan keuntungan, katanya.

Komunikasi politik telah banyak mengkaji mengenai pengaruh media masa di dalam kehidupan politik seperti mana yang ditulis oleh Joseph T. Klapper dalam bukunya, 'The Effects of Mass Communication' pada tahun 1990 di mana media memiliki kemampuan untuk mempengaruhi 'opinion' masa dan perilaku masyarakat, katanya. - azm _

Tiada ulasan: