HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Februari 2009

‘Saya pinjam pentas PAS’ - Dato’ A.Samad Said

Wan Kay


Terengganu - Dato’ A Samad Said rasa sangat dukacita dan bimbang tentang masa depan bahasa ibunda yang disifatkan semakin ‘kuncup’ , ‘nazak’ dan bakal ‘terkubur’ sekiranya kerajaan Barisan Nasional tetap berdegil.

Sasterawan Negara itu berkata, beliau tidak ada wadah lain untuk mempertahankan bahasa Melayu, melainkan pentas PAS, yang masih mempunyai ruang dalam perjuangan ini.

“Memang Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (GMPPSMI) ini anjuran PAS dan memang saya akui itu.

“Tetapi harus diingat bahawa saya meminjam pentas untuk menyatakan sikap saya. Tidak ada pentas lain,” jelasnya pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, dekat sini, hari ini.

Menurut ‘Pak Samad’, seramai 65 orang profesor dahulu telah menyatakan sikap dan telah menyatakan pandangannya tetapi tidak diterima oleh kerajaan.

Katanya, beberapa anjuran bagi bersemuka secara jujur dan ‘waras’ (baik) juga tidak diterima oleh pihak berkuasa.

Bahkan, kata beliau fikiran serta pandangan daripada budayawan juga tidak diambil-kira oleh pihak kementerian.

“Jadi apa lorongan yang tinggal dan kebetulan PAS memberikan pentasnya dan saya meminjam pentas itu.

“Kalau Parti KeADILan Rakyat (PKR) memberikan pentasnya saya akan pinjam juga dan kalau Umno memberikan pentasnya juga saya akan gunakan itu semata-mata kerana saya tidak mahu bahasa saya itu dikuncupkan, dinazakkan dan dikuburkan,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut menafikan telah ‘dibeli’ oleh pihak parti pembangkang dalam usahanya memperjuangkan bahasa Melayu dalam isu PPSMI tersebut.

“Saya tidak ‘dibeli’ tetapi saya berjuang kerana bangsa saya. Dari satu negeri ke satu negeri yang kami pergi dan kami memperjelaskan ini adalah ‘gerakan sopan’ dan bukan ‘gerakan garang’.

“Ini juga adalah gerakan hati nurani yang rata-ratanya mempercayai bahawa lidah bangsa (bahasa) itu harus dijaga bukan ‘ditetak’(bunuh),” ujarnya.

Katanya, jika kelantangan bersuara kerana berjuang dan mempertahankan bahasa ibunda (Melayu) itu dianggap tidak menguntungkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan gelaran Sasterawan Negara mahu ditarik-balik.

“Saya bersedia dan apa juga gelaran (Sasterawan Negara) itu sebenarnya untuk sementara dan tidak menjadi masalah kepada saya jika, kerajaan mahu menarik-balik gelaran Sasterawan Negara.

“Dan yang paling penting ialah perjuangan saya sebagai seorang Sasterawan untuk melestarikan bahasa saya, bahasa ibunda (Melayu) saya,” ujarnya dalam siri ‘roadshow’ GMPPSMI ke negeri Terengganu.

Katanya, Kementerian terbabit telah melanggar Undang-undang dan Akta serta tidak sah disisi Perlembagaan Negara.

Hadir sama pada majlis siding media itu Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pelaksana Gerakan Memansuhkan PPSMI, Suhaizan Kaiat, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Abu Bakar Chik dan Pengarah Institut Kajian Polisi (IKP), Mohamad Draman.

Tiada ulasan: