Jimadie Shah Othman
Hasrat Dewan Pemuda PAS (DPP) untuk menyerahkan surat cabaran debat kepada Ketua Pemuda Umno, yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), tidak berhasil apabila menteri berkenaan tidak menghadiri sidang Parlimen pagi tadi.
Berikutan itu, DPP akan menyerahkan surat tersebut kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pada jam 12.30 tengah hari esok di lobi Parlimen.
Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub ketika dihubungi Malaysiakini petang ini mengesahkan perkara tersebut.
"Kita hendak serah tadi, tetapi tidak ada yang berani terima. Bila kita hubungi Khairy, beliau setuju terima (bagi pihak Hishammuddin)," katanya.
Salahudin juga berkata, beliau mencabar Hishammuddin berdebat atas kapasitinya sebagai ketua Pemuda Umno dan "kebetulan ada jawatan dalam kerajaan" (sebagai menteri bertanggungjawab).
Bagaimanapun, tambah Salahudin, jika Hishammuddin menolak cabaran itu dan menghantar wakil dalam debat yang dirancang itu, beliau "tidak ada masalah selagi isu PPSMI dapat diketengahkan".
Salahudin juga menafikan cabaran itu dibuat semata-mata sebagai reaksi daripada penyerahan memorandum Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) kepada beberapa tokoh politik BN dan Pakatan, termasuk kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang minggu lalu.
Mahu disegerakan
"Ini adalah perjuangan lama (PAS). Kita suarakannya sejak dari dulu lagi. Hari ini kita merasakan suara anak muda mesti disambut," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.
Mengenai format debat yang beliau diinginkan, Salahudin berkata, tidak ada masalah dengan apa format pun yang dikendaki Pemuda Umno, asalnya ia dapat disegerakan.
Ditanya tentang persepsi orang ramai bahawa debat tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya menjadi medan tuding-menuding antara dua pihak yang berbeza pendapat, Salahudin berkata beliau mempunyai pandangan sebaliknya.
"Berlainan pendapat boleh disusuli dengan dialog dan sebagainya. Ia boleh menjana intelektual dan pemikiran ideal," katanya.
Isnin lalu, kira-kira 20 tokoh bahasa dan sastera, yang diketuai bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berarak ke Parlimen dari Tugu Negara, dekat situ bagi menyerahkan memorandum membantah pelaksanaan PPSMI kepada beberapa ahli parlimen.
Selain tokoh Pakatan, memorandum tersebut turut diterima Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Hishammuddin sendiri.
Pemuda PAS turut bergabung bersama NGO dan sayap Pemuda PKR dalam GMP bagi mendesak pemansuhan PPSMI melalui perhimpunan besar ala-Bersih pada 7 Mac depan.
Mereka dijadual berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi meminta campurtangan baginda dalam isu itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan