HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Februari 2009

Krisis ekonomi: Orang kaya kini pilih rawatan di hospital kerajaan

Oleh ANGELINA SINYANG


IPOH – Krisis ekonomi global yang kesannya turut dirasai Malaysia memaksa golongan kaya di negara ini memilih untuk mendapatkan rawatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan sebagai langkah berjimat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, dengan bayaran RM1, mereka boleh mendapatkan rawatan terbaik di hospital kerajaan berbanding kos jauh lebih mahal di pusat perubatan swasta.

“Kemelesetan ekonomi dunia sejak enam bulan lalu telah mengurangkan kuasa berbelanja rakyat negara ini termasuk keperluan kesihatan.

“Ini jelas apabila semakin ramai penduduk termasuk golongan kaya beralih mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Awam Negeri Perak Ke-3 di sini hari ini.

Menurut Abdul Latiff, pesakit yang berkunjung ke pusat rawatan kesihatan kerajaan bukan saja dirawat malah diperiksa dan diberi ubat secara percuma.

Beliau berkata, pesakit yang dimasukkan ke wad kelas ketiga hanya dikenakan bayaran RM3 sehari merangkumi bayaran untuk katil, ubat-ubatan, pemeriksaan doktor dan makan empat kali.

Katanya, bayaran tambahan RM500 hanya dikenakan kepada pesakit yang menjalani pembedahan.

Abdul Latif berkata, pesakit yang tidak mampu membayar pula boleh membuat rayuan bagi mengurang atau memansuhkan bayaran tersebut.

“Rayuan untuk mengurang dan memansuhkan bayaran hospital boleh dikemukakan kepada Pengarah atau Pegawai Kebajikan Sosial Perubatan di semua hospital seluruh negara.

“Hanya dua pegawai ini mempunyai kuasa untuk mengurang atau memansuhkan bayaran rawatan hospital bergantung kepada pertimbangan iaitu mengambil kira latar belakang dan kemampuan pesakit,” katanya.

Tiada ulasan: