HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Februari 2009

10,000 tandatangan sokong Elizabeth

Abdul Rahim Sabri


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menerima petisyen yang mengandungi 10,000 tandatangan tanda sokongan kepada exco kerajaan negeri, Elizabeth Wong yang menjadi mangsa penyebaran foto bogelnya.

Petisyen tersebut diusahakan sebahagian penduduk Bukit Lanjan sebagai tanda sokongan mereka kepada Elizabeth sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan tersebut.

"Kamu mahu menyuarakan sokongan kuat terhadap Elizabeth dan mahu beliau menyambung khidmat sebagai Adun Bukit Lanjan dan exco Selangor yang bertanggungjawab terhadap perlancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar," kata Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk Bukit Lanjan, Bobby Gan.

Gan dan empat lagi ahli jawatankuasa persatuan itu menyerahkan petisyen berkenaan kepada Abdul Khalid melalui setiausaha politik beliau Nik Nazmi Nik Ahmad di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Adun Kota Damansara, Dr Nasir Hashim.

Gan dalam sidang medianya selepas itu berkata, kempen menyokong Elizabeth melalui petisyen itu dimulakan Rabu lalu di beberapa kawasan dalam parlimen Subang - antaranya Bukit Gasing dan Kota Damansara - serta di Bukit Antarabangsa.

Ketika ditanya mengapa penduduk Bukit Antarabangsa terlibat sama dalam petisyen tersebut, Gan berkata, penduduk setempat berterima kasih kepada Elizabeth sebagai exco alam sekitar yang memainkan peranan menangani tragedi tanah runtuh di kawasan tersebut Disember lalu.

Petisyen tersebut yang turut menerima tandatangan orang ramai melalui talian itu, dijilid kemas dalam sebuah buku.

Kata Gan lagi, berdasarkan maklum balas sepanjang mengadakan kempen tersebut yang berakhir semalam, beliau mendapati ramai penduduk di kawasan-kawasan terbabit memberi sokongan moral kepada Elizabeth dan menolak tawarannya untuk meletakan jawatan wakil rakyat dan exco negeri.

Ini kerana, kata Gan, Elizabeth adalah wakil rakyat yang bekerja keras dan penduduk di kawasan tersebut cukup mengenali dan memberi sokongan kepadanya.

Beliau juga berharap PKR terus menyokong dan mengekalkan Elizabeth sebagai Adun dan exco Selangor.

Menurut Gan, petisyen ini juga merupakan harapan rakyat dan penduduk Bukit Lanjan kepada Sultan Selangor semoga mengekalkan Elizabeth dalam jawatan yang disandangnya sekarang.

Dilaporkan bahawa menteri besar Selangor itu akan menghadap Sultan Selangor esok.

Tiada ulasan: