HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Februari 2009

Krisis perlembagaan di Perak mulai memihak Pakatan Rakyat

Muhammad Yusri Amin


KOTA BHARU - Kemelut yang berlaku di Perak sekarang sudah menghampiri krisis perlembagaan apabila Menteri Besar kudeta, Dato' Zambry Abdul Kadir terpaksa mencari pakar undang-undang bagi merujuk kes tersebut.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Haron berkata, kemelut politik Perak kini hampir memihak kepada Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, apabila dilihat pemimpin Umno semakin kalut.

"Mereka mengambil jalan terakhir meminta nasihat daripada pakar perundangan di luar negara khususnya England biar pun cuba dinafikan mereka.

"Ini menampakkan perkembangan mutakhir di mana Umno telah merasai krisis perlembagaan yang berlaku kini memihak kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri, di Kota Darulnaim hari ini.

Beliau yang juga Adun Bukit Tuku berkata, tindakan Umno mencari pakar undang-undang di luar negara menggambarkan keraguan mereka menyelesaikan kemelut sekarang.

Menurutnya Umno mulai meragui kesahihan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak apabila krisis terus berlanjutan sehingga sekarang yang mungkin tidak dijangka oleh mereka.

Hari ini akhbar melaporkan Zambry melantik peguam sebagai kaedah terbaik berdepan dengan Pakatan yang kini menggunakan saluran undang-undang untuk berkuasa semula.

Akhbar berbahasa Inggeris semalam juga melaporkan beberapa peguam dan seorang Adun BN di Perak berlepas ke London malam semalam.

Sementara itu seorang pegawai kerajaan berkata, usaha kerajaan kudeta di Perak menukar Speaker V Sivakumar gagal kerana Speaker tak mungkin membenarkan usul tidak percaya terhadapnya.

"Samalah seperti berlaku di Parlimen apabila speaker lebih awal menghalang usul tidak percaya kepada Perdana Menteri seperti cuba dilakukan wakil rakyat Pakatan Rakyat sebelum ini," katanya. - mj _

Tiada ulasan: