HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Februari 2009

Ibrahim Ali sedia timbang sertai semula Umno

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali bersedia menimbang pelawaan untuk menyertai semula Umno dengan syarat parti itu bersedia menerima kelantangannya.

Ketika berterus-terang kepada para pemberita yang menemuinya di lobi Parlimen semalam, Ibrahim berkata, beliau amat menghargai pelawaan daripada Umno dan akan mendapatkan maklum balas daripada para penyokong di kawasannya.

Ibrahim menambah, Umno bukanlah satu parti yang asing baginya kerana selain pernah menjadi ahli, beliau menganggotai Majlis Tertinggi (MT) selama enam tahun dan ketua bahagian selama 12 tahun.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, parti itu memang memerlukan tokoh seperti Ibrahim bagi menguatkan kedudukan parti di mata orang Melayu ketika ini.

Katanya, sebagai orang lama dan berpengalaman, selain pernah keluar masuk Umno, kebolehan dan kecekapan Ahli Parlimen itu tidak perlu diragui.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli parti supaya tidak memandang sinis terhadap cadangan supaya Ibrahim dibenarkan menyertai semula parti itu.

Menurut Ahmad Zahid, beliau mengharapkan akan ada lagi orang seperti Ahli Parlimen Pasir Mas itu mahu menyertai Umno semula.

"Kalau ada ramai yang nak masuk lagi bagus, sekurang-kurangnya Umno ada majoriti dua pertiga di Parlimen nanti," katanya.

Seorang lagi ahli MT, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo juga bersetuju dengan cadangan itu dan berharap Ibrahim menimbang tawaran itu dengan sebaik-baiknya._

Tiada ulasan: