HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Februari 2009

Pelajar di Mukah siar aksi buli di YouTube

BERNAMA


KUCHING: Sekumpulan pelajar Sekolah Menengah di Mukah bertindak berani apabila merakam dan memasukkan aksi buli mereka ke atas seorang pelajar lain ke dalam YouTube.

Perbuatan itu mendapat liputan meluas media tempatan hari ini.

Di dalam klip video selama 3.05 minit itu, mangsa yang dikatakan pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah berasrama di Dalat, dilihat disepak, diterajang dan dipukul termasuk menggunakan cerek air oleh sekumpulan pelajar lain yang masih berpakaian seragam sekolah, di dalam sebuah bilik asrama.

Walaupun mangsa kelihatan cuba merayu tidak diapa-apakan, beliau terus dibelasah tanpa belas kasihan.

Satu laporan menyebut keluarga mangsa yang berasal dari Kampung Penat, Oya, sudah membuat laporan polis Isnin lalu di Balai Polis Dalat.

Pengarah Jabatan Pelajaran Sarawak, Dr Julaihi Bujang berkata kes itu turut dimaklumkan kepadanya oleh Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mohmad Salleh.

"Ia teruk dan serius. Kita akan membuat siasatan dan tindakan tegas akan diambil. Saya sudah diberi kebenaran untuk bertindak tegas," kata Julaihi.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Dalat turut terkejut dengan kejadian itu dan mahu laporan lengkap mengenainya.

"Saya akan mendapat maklumat lebih lanjut daripada sekolah berkenaan," katanya.

Dua tahun lalu, masyarakat di Sarawak turut gempar dengan berita kematian seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Teknik Bintulu, yang dipercayai dibuli oleh sekumpulan 18 pelajar sekolah terbabit di sebuah blok asrama. - Bernama

Tiada ulasan: