HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Februari 2009

Telur di hujung tanduk

Mohd Basir Abdullah


Sungguh sayang negara yang dicinta ini sudah menjadi seumpama telur di hujung tanduk. Bangsa Melayu yang berkedudukan tuan dengan hak istimewanya telah hilang arah tuju, telah hilang akal dan bakal hilang segalanya tidak lama lagi.

Segalanya yang mereka telah kecapi adalah hasil pengorbanan nenek moyang mereka dan yang menyayat hati, mereka telah mensia-siakan segalanya. Hancur hati melihat gelagat mereka.

Jelaslah bangsa Melayu telah longlai dari segi pegangan agama mereka, malah mereka telah dipisahkan jauh daripada agama mereka. Adakalanya mereka bertindak seolah-olah mereka telah tiada Tuhan lagi, tidak berlandas iman dan di luar kawalan akal.

Agenda yang terpenting adalah semua mahu memerintah dan menunjuk kuasa. Hinggakan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir pun mahu berperanan dan berkuasa menentukan halatuju negara mengikut telunjuk beliau.

Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah pula tidak ambil peduli. Beliau tidak berminat membetulkan keadaan negara yang diserahkan kepada beliau oleh mantan Perdana Menteri.

Keadaan bertambah buruk lagi dengan Islam Hadhari yang beliau kemukakan. Sekarang, ada dua agama Islam dan dua jenis umat Islam. Satu, berpandukan nafsu dan yang satu berpandukan iman. Lihatlah keadaan dan fikirlah apa yang dikata.

Beliau seperti berbulan madu berterusan bersama Gin Abdullah. Ke hulu ke hilir macam pasangan remaja yang baru bernikah. Keputusan demi keputusan yang beliau buat adalah demi kemajuan dunia. Tidakkah beliau sedar, kemajuan yang dibawa itu telah melupakan kita mengenai apa yang menanti di akhirat?

Mengapa dan siapa yang telah izinkan beliau menjadi Perdana Menteri negara ini? Beliau sendiri berkata tidak pernah menjangka yang beliau akan jadi Perdana Menteri Malaysia pada suatu hari nanti.

Apa perkara baik yang pernah beliau lakukan untuk negara ini hingga negara ini sekarang berada di ambang kehancuran? Agama diperkosa, negara dibiarkan dirompak oleh para perompak yang rapat dengan beliau. Menantunya sedang menghantui negara ini.

Lima koridor cukup hebat didengar. Jumlah kos pembangunan lima koridor ini mencapai Ringgit Malaysia satu trillion. Secara rambang jika beliau mengambil 1% sebagai haknya daripada jumlah kos satu trillion itu berapa agaknya?

Sepuluh keturunan pun tak habis pakai dan joli. Tumpuan beliau hanyalah kepuasan hati serta nafsu biarpun rakyat tertipu dan negara tergadai. Penggantinya yang tentunya belum sanggup memikul tanggungjawab negara ini tetapi lihatlah gelagatnya. Belum pun diberi kuasa, sudah melangkah memporak-perandakan negara ini tanpa segan silu.

Beliau belum tentu menjadi Perdana Menteri negara ini tapi sudah bertindak membuat itu dan ini. Yang dia lupa ialah negara ini milik Allah yang maha kuasa, bukanlah kepunyaan Umno. Sekelip mata, pelbagai perkara boleh berlaku.

Ingatan khusus kepada Najib

Jangan beliau lupa.. allahyarham ayahandanya Tun Abdul Razak tidak sempat mentadbir negara ini sepenggal. Terkejut negara apabila beliau aibkan arwah Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri pertama tanpa belas kasihan.

Dalam masa yang singkat menjadi Perdana Menteri kedua, beliau telah meninggal dunia. Jadi, jangan mudah lupa, ambillah iktibar terhadap apa yang telah terjadi.

Saya nasihatkan Dato' Seri Najib, jangan terbawa-bawa kehendak nafsu yang melampau. Tidakkah Dato' Seri sedar bahawa Dato' Seri manjadi pak sanggup di atas dosa-dosa yang dilakukan terhadap negara, agama dan bangsa yang ditinggalkan Tun Dr Mahathir, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Berbaloikah apa yang dilakukan Umno; mengganas, merosak, dendam porak-perandakan kedudukan bangsa, agama dan negara. Tidakkah PM, TPM para penguasa dan ahli Umno sedar apa boleh berlaku jika perbuatan ini tidak dihentikan?

Raja-Raja Melayu perlu bertanggungjawab

Saya merayu Raja-Raja Melayu jangan bisu, pekak dan buta, walhal tuanku ketua agama Islam. Seandainya Tuanku tak mahu bertanggungjawab ke atas negara agama dan bangsa, bersedialah, tidak siapa yang akan bersama tuanku ketika dimasukkan dalam liang lahad. Ia tiada bezanya walaupun ukurannya berbeza. Ia sama untuk semua umat Islam.

Itu, jika kita meninggal dalam keadaan telur di hujung tanduk. Kalau Allah murka dengan apa yang sedang berlaku terutamanya empat perkara yang diharamkan Islam berleluasa di negara ini; Judi, Arak, Dadah & Pelacuran yang mencemarkan kesucian negara Islam, tak mustahil Allah menurunkan malapetaka dalam bentuk bencana alam besar yang meragut ramai nyawa. Pada masa itu, tidak perlu lagi liang lahad.

Kepada semua, tidak kira rakyat, ahli politik, pemimpin atau ulamak, saya merayu supaya sedar dan insaflah. Untuk penguasa yang sanggup mengguna agama dan kehalusan emosi orang Melayu demi kedudukan dan kuasa rakus mereka, hentikanlah amalan terkutuk itu kerana Allah maha melihat, maha mengetahui dan maha bijaksana.

Saya merayu kepada Dato' Ahmad Zahid Hamidi, selaku menteri agama Islam negara ini, agar kenanglah apabila roh dipisah dari jasad yang sedang sangat berkuasa sekarang dato' pasti disoal apa yang diamanahkan.

Manusia merancang, Allah merancang, rancangan Allah yang lebih baik. Salam selamat. Berani kerana benar.

Saya boleh dihubungi melalui talian 019-6705730 atau mohamad.basir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya _

Tiada ulasan: