HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Februari 2009

Sivakumar kecewa siasatan SPRM anggap penghinaan

BERNAMA


IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V.Sivakumar berkata beliau berasa kecewa dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasatnya, walaupun segala tindakannya sebagai Speaker Dewan dibuat secara sah.

"Saya amat kecewa dengan tindakan SPRM ini. Saya rasa tindakan mereka ini adalah satu penghinaan kepada institusi DUN dan sememangnya saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas selesai memberi keterangan kepada pegawai SPRM di Kediaman Rasmi Menteri Besar semalam.

Jumaat lepas Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dilaporkan berkata Suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa V. Sivakumar kerana menggantung Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Excon kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan DUN berkuatkuasa serta merta.

Sivakumar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh berkata sebagai Speaker, beliau cuma menjalankan tugas mengikut peraturan sedia ada, dan menurutnya "tetapi nampaknya saya pula yang disoal siasat".

Bagaimanapun menurutnya beliau yakin telah memberi kerjasama penuh dengan memberi keterangan kepada dua pegawai SPRM dari Ibupejabat di Putrajaya selama kirakira dua jam, bermula dari pukul 6 petang.

Sivakumar seterusnya berkata siasatan itu menjejaskan prinsip demokrasi dalam negara dan mengancam doktrin pengasingan kuasa antara tiga badan kerajaan, iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Tiada ulasan: