BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa tiada sebarang keperluan untuk menukar kaedah pemilihan Perdana Menteri seperti yang sedang diamalkan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sistem sedia ada bagi memilih Perdana Menteri berjaya menjamin keamanan, kemajuan dan kestabilan politik di negara selama lebih 50 tahun.
"Saya juga ingin mengingatkan bahawa sistem pemilihan yang sedia ada di Malaysia adalah termaktub dalam Perlembagaan (Persekutuan), dan bukannya satu yang boleh ditetapkan melalui keputusan eksekutif.
"Oleh itu, keputusan sama ada untuk menukar sistem pemilihan Perdana Menteri yang sedia ada sebenarnya adalah terletak di tangan Parlimen," katanya menjawab soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) sama ada kerajaan akan membubarkan sistem pemilihan Perdana Menteri sedia ada dan mengguna pakai sistem di mana semua rakyat boleh memilih Perdana Menteri seperti di Amerika Syarikat.
Mohamed Nazri berkata Malaysia merupakan sebuah negara Raja Berperlembagaan yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen yang berdasarkan model Westminster yang kini diamalkan di United Kingdom.
"Mengikut sistem ini, Perdana Menteri mestilah seorang anggota Dewan Rakyat yang pada pendapat Yang diPertuan Agong, memimpin kumpulan majoriti dalam Dewan Rakyat.
"Oleh itu, sejak merdeka lagi Malaysia telah dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang juga merupakan ketua kepada Parti Perikatan (yang kemudiannya diperluas dan dikenali sebagai Barisan Nasional).
"Ini adalah berbeza dengan sistem politik di Amerika Syarikat di mana seorang Presiden adalah dipilih secara langsung, melalui undian rakyat setiap empat tahun," katanya.
Beliau berkata dalam konteks negara, apabila rakyat membuang undi dalam pilihan raya umum, mereka sedar dan tahu bahawa mereka sebenarnya secara tidak langsung memilih Perdana Menteri.
Menjawab pertanyaan Gobind mengenai kredibiliti calon Perdana Menteri akan datang yang beliau dakwa kononnya mempunyai skandal dan terlibat dengan kes jenayah, Mohamed Nazri berkata dakwaan itu hanya spekulasi dan ia tidak mempengaruhi keputusan. "Di Malaysia, seseorang itu tidak bersalah jika tidak didakwa di mahkamah. Jadi apa yang dibangkitkan Yang Berhormat hanya spekulasi. Ia tidak boleh pengaruhi keputusan dan kita buat keputusan mengikut asas dan bukti yang nyata.
"Dalam hal perlantikan Perdana Menteri, (ia) mengikut keputusan Yang diPertuan Agong dan jika Tuanku membuat keputusan menerima ahli Yang Berhormat Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebagai Perdana Menteri, bukanlah tanggungjawab kita untuk mempertikaikannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan