Wartawan Buletin
Kuala Terengganu – Kerajaan negeri Terengganu diminta bertindak segera mengemukakan pelan tindakan menghadapi krisis ekonomi yang semakin menghampir.
Ini berikutan kenyataan pakar-pakar ekonomi, negara bakal menghadapi saat yang lebih sukar dan apa yang berlaku sekarang tidak lebih sekadar satu permulaan.
Pengerusi Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Cikgu Fauzi Abu Samah menggesa kerajaan negeri menyegerakan tuntutan royalti petroleum daripada Petronas sebagaimana dijanjikan dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu baru-baru ini.
“Kita harap kerajaan negeri dapat bertindak pro-aktif, mendesak Petronas membayar royalti lebih awal memandangkan krisis ekonomi yang akan melanda,
“ia adalah hak Terengganu dan jumlah tersebut sudah disimpan oleh Petronas, dengan adanya wang tersebut akan memudahkan kerajaan negeri merancang,”katanya ketika dihubungi Buletinonline hari ini.
Beliau menyatakan kebimbangan kakitangan kerajaan akan menghadapi kesukaran sekiranya kerajaan menghadapi masalah kewangan.
Walaupun Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menjamin keadaan kewangan kerajaan stabil namun menurutnya, lebih baik kerajaan negeri mengambil langkah ‘sediakan payung sebelum hujan’.
Beliau juga menyarankan kerajaan negeri mengikuti jejak langkah kerajaan pusat yang menyediakan pakej rangsangan bagi merancakkan ekonomi negeri.
“Kerajaan Terengganu boleh mengambil tauladan dari tindakan Menteri Kewangan, Dato Seri Najib Razak yang mengumumkan pakej rangsangan di parlimen baru-baru ini,”tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan