HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Februari 2009

Kabinet tunda kenaikan tol di lima lebuhraya

MALAYSIA KINI
(kemaskini 4:48pm)


Kabinet hari ini menunda keputusan menaikkan kadar tol di lima lebuh raya seperti diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed semalam.

Dalam sidang medianya sebentar tadi, Mohd Zin berkata berikutan itu, kenyataannya semalam mengenai kenaikan kadar tol tersebut, dibatalkan.

Katanya, kenaikan kadar tol itu ditangguhkan sehingga akhir tahun ini, ekoran reaksi negatif orang ramai serta keadaan ekonomi sekarang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengumumkan perkara yang sama dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kementerian Kewangan di Putrajaya jam 5.30 petang ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta keputusan menaikkan kadar tol itu dikaji semula kerana sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk membuat keputusan.

Semalam kalangan wakil-wakil rakyat kerajaan mempertikaikan tindakan mendadak kementerian tersebut.

Semalam, Mohd Zin Mohamed mengumumkan kenaikan kadar tol - antara 0.68 sen/km hingga 50 sen - bagi Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).

Kadar kenaikan tol terbabit adalah seperti berikut:

- Lebuhraya Utara-Selatan (Plus): Kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus dinaikkan 0.68 sen sekilometer bagi kereta. Bagaimanapun, kenaikan ini tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar.

- Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint). Plaza tol Pantai: naik 50 sen dari RM1.50 kepada RM2 (naik 33) dan Plaza tol Damansara: naik 30 sen dari RM1 kepada RM1.30 (naik 30%).

- Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)(Lebuhraya E12): Kadar tol dinaikkan sebanyak 50 sen bagi kereta - dari RM1.50 hingga RM2 (naik 33%).

- Kadar tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya): Kadar tol dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kereta - dari RM1.30 kepada RM1.40 (naik 7.7%). Bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines kerana Tol Salak Selatan Jaya telah ditutup mulai semalam.

- Lebuhraya Baru Pantai (NPE): Kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kereta - dari RM1.60 kepada RM2 (naik 25%).

Dalam kenyataannya, Mohd Zin menyifatkan kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil.

Tiada ulasan: