HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mei 2009

Kes penderaan kanak-kanak meningkat

UTUSAN ONLINE


PETALING JAYA - Kes penderaan kanak-kanak di negara ini semakin membimbangkan dengan sejumlah 2,780 kes baru dilaporkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lalu.

Jumlah itu membabitkan 1,795 kanak-kanak perempuan dan 985 kanak-kanak lelaki.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan kes sebanyak 781 berbanding dua tahun lalu.

"Saya amat mengambil berat isu penderaan sama ada membabitkan wanita atau kanak-kanak, jadi saya akan berusaha mengatasi masalah ini.

"Berhubung penderaan kanak-kanak, saya memberi amaran kepada pendera bahawa kementerian ini tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 atau penjara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini selepas menemui ibu kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dikenali sebagai Haikal yang kini dirawat di Hospital Serdang di sini kerana dipercayai didera.

Hari ini, sebuah akhbar melaporkan, ibu saudara Haikal membuat laporan kepada media apabila mendapati kanak-kanak itu kerap kali mempunyai kesan lebam dan luka di hampir keseluruhan badan seperti dipukul sejak berusia tiga tahun.

Sehubungan itu, dua pegawai dari JKM yang dihubungi media datang ke rumah kanak-kanak berkenaan semalam dan membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.

Shahrizat berkata, kes Haikal masih disiasat dan ia mengambil masa sekurang-kurangnya satu bulan untuk diselesaikan.

Menurut beliau, kehadirannya di mahkamah itu untuk melihat sendiri prosiding yang dijalankan supaya lebih memahaminya di samping berjumpa ibu kanak-kanak itu secara peribadi sebagai seorang isteri dan ibu.

"Mahkamah membuat keputusan bahawa kanak-kanak ini akan ditempatkan di JKM sehingga prosiding selesai.

"Selepas itu, kanak-kanak berkenaan akan diserahkan kepada penjaga yang layak dan jika tidak ada yang berhak, dia akan terus ditempatkan di JKM," katanya.

Katanya, selepas melawat Haikal di hospital semalam, beliau mendapati kanak-kanak itu seorang yang bijak bercakap dan aktif maka tidak sepatutnya terus dia hidup dalam suasana didera kerana mampu menghancurkan masa depannya.

Tiada ulasan: