HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Mei 2009

9 Melayu antara 40 terkaya di Malaysia

Oleh Kamarulzaidi Kamis


KUALA LUMPUR: Bilangan hartawan Melayu dalam senarai ‘40 Individu Paling Kaya di Malaysia Forbes Asia’ bagi tahun ini meningkat kepada sembilan berbanding lapan tahun lalu dengan nilai aset terkumpul mereka mencecah AS$2.603 bilion (RM9.132 bilion).

Nilai aset terkumpul itu bagaimanapun 28.88 peratus lebih rendah berbanding AS$3.65 bilion (RM12.84 bilion) tahun lalu dan hanya mewakili 7.15 peratus kekayaan terkumpul semua individu dalam senarai 40 orang paling kaya Malaysia itu yang berjumlah AS$36.41 bilion (RM127.74 bilion).

Usahawan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim terus mengekalkan kedudukan masing-masing sebagai orang Melayu paling kaya dan kedua paling kaya tahun ini.

Turut mengekalkan kedudukan adalah Pengerusi Eksekutif Kencana Petroleum Bhd, Datuk Mokhzani Mahathir pada tempat ke-3 dan Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun tempat ke-4.

Syed Mokhtar mempunyai kekayaan AS$1.1 bilion (RM3.86 bilion), manakala Azman AS$470 juta (RM1.65 bilion).

Walaupun kekayaan Syed Mokhtar dan Azman masing-masing susut daripada AS$1.8 bilion (RM6.32 bilion) dan AS$700 juta (RM2.46 bilion) tahun lalu, mereka mengekalkan kedudukan di tempat ke-8 dan ke-11 dalam senarai '40 Individu Paling Kaya di Malaysia' tahun ini.

Mokhzani dan Kamarudin pula masing-masing memperbaiki kedudukan dari tempat ke-20 dan ke-21 tahun lalu kepada ke-16 dan ke-19 tahun ini.

Peningkatan itu di sebalik penurunan nilai kekayaan masing-masing daripada AS$290 juta (RM1.02 bilion) kepada AS$215 juta (RM754.29 juta) dan AS$280 juta (RM982.34 juta) kepada AS$205 juta (RM719.21 juta) tahun ini.

Tiga hartawan Melayu baru yang memasuki senarai tahun ini ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holding Bhd, Tan Sri Rozali Ismail pada tangga ke-31; Pengerusi Hard Rock Cafe Enterprise Malaysia, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir di tangga ke-37 dan Ketua Eksekutif Ranhill Bhd, Tan Sri Hamdan Mohamad di tangga ke-38.

Nilai aset ketiga-tiga individu itu masing-masing berjumlah AS$130 juta (RM456.08 juta), AS$100 juta (RM350.83 juta) dan AS$98 juta (RM343.82 juta).

Dua hartawan Melayu lain yang turut berada dalam senarai itu ialah Pengarah Eksekutif Westports, Ahmayuddin Ahmad di tempat ke-25 dengan nilai kekayaan AS$175 juta (RM613.96 juta) dan Pengarah Gamuda Bhd, Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah di tempat ke-35 dengan nilai kekayaan AS$110 juta (RM385.917 juta).

Bagaimanapun, Pengerusi Naim Cendera Holdings Bhd, Datuk Abdul Hamed Sepawi dan Ketua Eksekutif CIMB Group, Datuk Nazir Razak masing-masing berada di tempat ke-30 dan ke-40 tahun lalu terkeluar daripada senarai '40 Paling Kaya di Malaysia’ tahun ini.

Sementara itu, peneraju Kumpulan Kuok, Tan Sri Robert Kuok dan ahli perniagaan Ananda Krishnan mengekalkan kedudukan sebagai rakyat Malaysia paling kaya.

Kekayaan Kuok adalah AS$9 bilion, turun daripada AS$10 bilion tahun lalu, manakala Ananda pula AS$7 bilion, turun daripada AS$7.2 bilion. Kuok dan Ananda juga adalah orang paling kaya di Asia Tenggara.

Rakyat Malaysia ketiga paling kaya pula ialah Pengerusi Kumpulan IOI, Tan Sri Lee Shin Cheng dengan kekayaan AS$3.2 bilion, turun daripada AS$5.5 bilion tahun lalu.

Forbes Asia dalam kenyataannya berkata, jumlah terkumpul kekayaan 40 individu paling kaya di Malaysia AS$36 bilion bagi tahun ini merosot 22 peratus berbanding AS$46 bilion tahun lalu sejajar kejatuhan 21 peratus pasaran saham tempatan dan penurunan 10 peratus nilai ringgit berbanding dolar AS.

Katanya, pengiraan nilai kekayaan individu dalam senarai itu dibuat berdasarkan harga saham syarikat yang dikuasai dan kadar pertukaran mata wang daripada 15 Mei lalu.

Bagi aset yang tidak disenaraikan pula, ia menggunakan maklumat daripada firma biro kredit BRIS Information Services Sdn Bhd (BRIS) dan sumber lain untuk membuat anggaran nilainya jika aset itu disenaraikan di Bursa Malaysia.

Tiada ulasan: