HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Mei 2009

Tan Sri Khalid bidas kenyataan Pewaris

TV ANTARA


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim hari ini membidas tindakan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) kerana kurang memahami prinsip asas sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Pewaris semalam menyelar Tan Sri Abdul Khalid dan menganggap beliau sebagai “menyokong budaya perhimpunan haram” yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Isnin lalu, Menteri Besar menyatakan rasa kesal atas tindakan keras pihak polis yang melampau terhadap perhimpunan aman kebelakangan ini.

Tan Sri Khalid menegaskan bahawa perhimpunan secara aman adalah hak asasi setiap warganegara Malaysia yang termaktub dalam Deklarasi Hak-hak Asasi Sedunia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Katanya, kebebasan untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan merupakan prinsip asas sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi supaya rakyat dapat mengambil bahagian dalam proses pembentukan dasar-dasar negara.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata adalah tidak wajar bagi Pewaris mentafsirkan pendirian tersebut sebagai percubaan “menghasut dan menggalakkan rakyat untuk menyalahi undang-undang”.

Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang sebagai landasan keadilan sosial, pentadbiran dan pertahanan demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

“Namun undang-undang tidak patut disalahgunakan demi kepentingan politik pihak tertentu sehingga masyarakat awam hilang keyakinan terhadap institusi polis.

“Undang-undang berhubung dengan perhimpunan orang awam wajar dikaji semula supaya selaras dengan prinsip asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” ujarnya.

Tiada ulasan: