TV ANTARA
Siri teater lawak nasional sudah bermula untuk musim baru. Watak utama teater komedi ini tidak lain tidak bukan dipegang dan dilakonkan oleh Badut Nasional. Badut Nasional atau nama pendeknya BN memang pelakon yang handal sejak mula menceburi bidang teater lawak ini lebih lima dekad yang lalu.
Selama tempoh yang panjang itu lebih tepat lagi sejak zaman merdeka watak BN ini telah dipegang oleh beberapa tokoh lawak yang berbeza-beza kemampuannya sebagai pelawak. Ada pelawak yang agak banyak jasanya kepada seni teater lawak, ada juga pelawak yang gila kuasa sebab tidak mahu orang lain mengambil tempatnya. Baru-baru ini setelah seorang pelawak yang agak singkat jangka waktu ia memegang watak BN, seorang lagi dinobatkan sebagai BN.
Badut Nasional yang baru ini lagi gila kuasa walaupun dia mengaku kepada rakyat yang menonton teater lawaknya bahawa dia bukan seorang yang gila kuasa. Kata BN ini lagi kuasa hanya beliau perlukan untuk berkhidmat kepada rakyat. Maknanya BN ini mahukan kuasa hanya untuk membolehkan ia melakonkan lawaknya dengan lebih efektif, tidak lebih daripada itu.
Hampir empat bulan yang lalu BN ini telah membuat satu teater lawak di negeri yang bernama Perak.Pada kala itu negeri bernama Perak ditadbir oleh lawan kepada BN yang bergelar PR. PR ini telah dipilih oleh rakyat negeri bernama Perak itu dalam satu proses yang demokratik, telus serta benar-benar mencerminkan aspirasi dan cita-cita rakyat yang mahukan perubahan.
Ini kerana sebelum itu lebih tepat lagi sejak zaman merdeka negeri berama Perak ini diperintah oleh kaum kerabat dan kuncu-kuncu BN tetapi rakyat sudah menyampah dan mual dengan sikap kaum kerabat dan kuncu-kuncu BN ini yang tamak dan rakus kuasa ditambah pula dengan amalan rasuah yang bermaharajalela di negeri mereka.
Maka pada pilihan raya umum anjuran agensi di bawah BN bernama Suruhanjaya Pilihan Raya rakyat telah bangun menggunakan kuasa ditangan mereka untuk menumbangkan kekuasaan kaum kerabat dan kuncu-kuncu BN. Bukan kepalang marahnya BN apabila negeri bernama Perak jatuh kepada lawannya bernama PR.
BN tidak dapat menerima kekalahan yang begitu pahit baginya, lebih pahit daripada hempedu. Hempedu pun tidak sepahit kekalahan BN di negeri bernama Perak. Yang lebih memahit dan memilukan lagi kepada BN empat buah negeri lain juga turut jatuh ke tangan PR. Bertambah peritlah lagi penyeksaan zahir dan batin BN apabila lima negeri mennyahkan kaum kerabat dan kuncu-kuncu BN daripada tampuk pemerintahan.
Semenjak daripada itu BN tidak berputus asa dan sentiasa memikir dan berusaha bagaimana BN mendapatkan semula negeri-negeri yang jatuh ke tangan PR ke tangannya semula. Maka BN telah memilih negeri bernama Perak untuk memulakan projek teater lawaknya.
Sebagai permulaan lakonan lawaknya BN mencuri tiga daripada menteri PR. Mereka bertiga ini hilang beberapa hari tanpa berita dan khabar tetapi dalam setiap lakonan mesti ada elemen kekejutannya. Maka rakyat negeri bernama Perak dikejutkan dengan kemunculan tiga orang menteri PR tersebut di istana BN. Berdiri di sisi BN mereka bertiga tersenyum lebar daru telinga ke telinga kerana sesungguhnya BN tela menawan hati mereka dengan lakonan lawaknya yang maha hebat.
BN tidak berpuas hati sekadar mencuri tiga orang menteri PR. Dia bergegas ke istana mengadap As Sultan dengan membawa bukti hidup kepada baginda bahawa ketiga-tiga menteri PR itu telah menyeberang daripada PR untuk menyokong BN. Dipendekkan ceritera hikayat lawak BN maka As Sultan pun memperkenankan calon BN untuk menjadi MB menggantikan MB PR. Lakonan BN yang amat menyakinkan As Sultan itu bagaimanapun dihidu rakyat jelata dan lantas mereka tidak mahu lagi menonton teater lawak BN.
Malah mereka saban hari terus mendesak supaya BN mengembalikan hak mereka yang telah dirampas BN. BN tetap tidak mahu mengaku kalah lalu digunakanlah segala apparatus negara yang ada untuk mendokong lakonan lawaknya yang sudah menjadi basi dan tidak laku.
Negeri bernama Perak tidak tenteram, rakyatnya sugul dan bersedih atas apa yang menimpa negeri mereka. seperti todak melanggar Pulau Singapura, ibarat dilanda burung garuda. Demi mempertahankan hak rakyat yang dicabul, MB PR pun berjuang untuk mendapatkan haknya kembali melalui mahkamah yang hakim-hakimnya semua adalah lantikan BN.
Baru-baru ini BN berjaya mendapatkan keputusan yang memihak kepadanya dan mahkamah pun terus memberi nyawa kepada MB BN untuk terus bernafas. Rakyat terus dirundung malang dan derita kerana hak mereka agar PR terus memerintah negeri bernama Perak dihampakan dengan kelicikan lakonan lawak BN. Maka sehingga kini rakyat negeri bernama Perak berduka nestapa, berpuasa dan bermogok lapar agar hasrat dan doa mereka dimakbulkan. Mereka terpaksa menerima hakikat di negeri bernama Perka kini ada dua MB dan dua Speaker.
Dalam pada BN sibuk melakonkan lawaknya di negeri bernama Perak, kaum kerabat dan kuncu-kuncu BN mendapat ilham untuk meniru lakonan hebat BN itu kerana bagi mereka BN adalah idola mereka. Maka kaum kerabat BN bernama PPP mahu menjadi pelawak yang hebat juga.
Semalam mereka telah mementaskan teater lawak yang seakan-akan sama dengan lakonan lawak di negeri bernama Perak hanya pada skala yang lebih kecil. Kaum kerabat BN bernama PPP telah memecat penyadang ketua lama dan melantik ketua baru. Maka melentinglah ketua lama mengatakan apa yang dilakukan oleh ketua baru menyalahi peraturan parti dan undang-undang manakala ketua baru pula ketua lama sudah dipecat kerana di telah dilantik secara sah oleh penyokong-penyokongnya.
Minggu lalu ketua lama pecat ketua baru minggu ini pula si baru pecat si lama. Ketua baru bukan sahaja pecat ketua lama sahaja, seluruh ahli majlis tertinggi ketua lama juga turut ditendang keluar. Tapi kaum kerabat BN bernama PPP ini baik sedikit daripada BN. Sekurang-kurang ketua baru buang ketua lama menerusi proses yang lebih demokratik iaitu melalui undi tidak percaya.
Di negeri bernama Perak nyawa MB BN ditentukan oleh mahkamah dan hidupnya pun hasil rampasan daripada PR. Jadi PPP lebih bermaruah daripada BN. Ketua lama kata ketua baru tidak sah bermakna PPP sekarang ada Ketua Sah dan Ketua Haram macam juga negeri bernama Perak, satu MB PR Sah dan satu MB BN Haram, juga satu Speaker PR Sah dan satu Speaker BN Haram.
Nampaknya cepat betul penyakit yang di bawa BN dari negeri bernama Perak berjangkit kepada kaum kerabat dan kuncu-kuncu BN. Selepas ini tidak tahu kaum kerabat dan kuncu-kuncu mana pula yang akan dapat penyakit BN. Harap-harap tidak epidemik dan cepat merebak seperti selsema babi.
Tidak mengejutkan selepas ini kaum kerabat BN bernama PPP juga akan mengikut jejak langkah BN menggunakan apparatus mahkamah untuk saling berhujah bahawa dialah ketua yang asli dan absah.
Tidak boleh disalahkan kaum kerabat BN bernama PPP kerana bertindak demikian sebab sudah diajar sedemikian rupa oleh BN. Kalau PPP masih tidak tahu caranya belajarlah daripada mahaguru BN. Maka bermulalah episod baru dalam siri teater lawak Badut Nasional. Tidak mengejutkan selepas ini rakyat akan terus ihiburkan dengan kemunculan badut-badut baru yang semuanya mahu pengiktirafan nasional. - TVA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan