HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Mei 2009

Anak pemimpin bahagian miliki 1,176 pil khayal

BERITA HARIAN ONLINE


MACHANG: Polis menahan anak seorang pemimpin bahagian sebuah parti politik di Kelantan dan merampas 1,176 pil khayal dalam kereta miliknya ketika serbuan di sini, awal pagi semalam.

Pemangku Ketua Daerah Polis Machang, Asisten Superintendan Loo Lian Lay, berkata suspek berusia 27 tahun itu ditahan sebaik keluar dari sebuah rumah rakannya dekat Taman Setia Kasih dekat Kampung Meleret, di sini.

Beliau berkata, serbuan terbabit dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Machang, sebaik suspek berada di sisi kereta Perodua Kancil miliknya.

“Hasil pemeriksaan polis menemui sejumlah 1,056 pil kuda dan 120 pil Eramin 5, semua bernilai hampir RM50,000. Kita sedang siasat dari mana dia memperoleh pil khayal terbabit.

“Intipan terhadap pengedaran pil khayal yang didalangi pemuda terbabit sudah dibuat sejak dua bulan lalu. Kita sedang mengenal pasti sama dia bergerak sendirian atau secara sindiket menerusi siasatan lanjut yang sedang dijalankan,” katanya di sini, semalam.

Loo berkata, polis percaya hasil tangkapan suspek dapat membantu melumpuhkan kegiatan pengedaran pil khayal di jajahan Machang.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama seminggu mulai semalam dan disiasat mengikut Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Tiada ulasan: