HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Mei 2009

BN tetap jadi sasaran walaupun tak tanding di Penanti

BERITA HARIAN ONLINE


GEORGETOWN: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembangkang yang tiada modal untuk memancing undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dan menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai sasaran kempen mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Pakatan Rakyat (PR) sepatutnya menumpukan kempen mereka kepada agenda pembangunan yang akan dibawa untuk rakyat Penanti, bukannya menghentam kerajaan BN.

“Walaupun BN tidak bertanding, mereka menjadikan kempen pilihan raya kecil itu sebagai forum untuk membelasah BN tanpa asas kukuh.

"Saya mendapat maklum balas daripada Umno bahagian dan negeri bahawa kempen mereka tidak bermaya, langsung tiada fokus kepada apa yang seharusnya menjadi perjuangan utama mereka.

"Apabila BN tidak bertanding, mereka agaknya rasa kemaruk dan tidak ada isu, tetapi menggunakan BN sebagai punching bag (sasaran belasahan), seolah-olah tidak ada modal lain lagi.

"Ini jelas terbukti calon yang bertanding di situ tidak ada agenda yang khusus untuk membela rakyat," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Badan Perhubu-ngan Umno Pulau Pinang di Bangunan Umno di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman.

Beliau mengulas tindakan pemimpin PR yang menghentam pemimpin BN, khususnya Umno sepanjang kempen pilihan raya kecil Penanti walaupun BN tidak meletakkan calon.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempertahankan kerusi itu mencalonkan Timbalan Pengerusi PKR negeri, Mansor Othman. Beliau dicabar tiga calon Bebas iaitu Aminah Abdullah, Nai Khan Ari dan Kamarul Ramizu Idris.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata kebanyakan isu yang dibawa pembangkang adalah perkara lama, yang sudah pun dijelaskan kerajaan.

Antara isu itu ialah krisis politik di Perak, soal ketelusan dan ekonomi negara.

Bagaimanapun, katanya, BN akan menggunakan platform lain untuk menjelaskan beberapa perkara yang mungkin kurang difahami ahli parti.

"PR akan terus melakukan serangan peribadi, fitnah dan memutarbelitkan fakta. Ini memang cara mereka untuk perdaya pengundi di kawasan itu.

“Jadi, saya minta jentera penerangan peringkat bahagian memberi penjelasan berhubung semua isu,” katanya.

Mengenai kemungkinan pengundi BN dalam dilema kerana parti itu tidak bertanding, Muhyiddin percaya mereka bijak untuk membuat keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan.

“Saya percaya ahli parti bijaksana kerana mereka tahu BN tidak bertanding atas prinsip,” katanya.

Tiada ulasan: