SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) sebagai tidak faham prinsip asas sistem demokrasi yang diamalkan di negeri ini.
Abdul Khalid berkata, adalah tidak wajar bagi badan bukan kerajaan (NGO) itu mentafsirkan pendirian beliau yang menyatakan perhimpunan aman adalah hak asasi setiap warganegara di Malaysia yang termaktub dalam Deklarasi Hak-hak Asasi Sedunia dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai cubaan menghasut rakyat melanggar undang-undang.
“Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang sebagai landasan keadilan sosial, pentadbiran dan pertaha-nan demi kesejahteraan masyarakat dan negara.
“Namun, kebebasan untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan adalah prinsip asas sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi supaya rakyat dapat mengambil bahagian dalam proses pembentukan polisi negara,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Abdul Khalid Ibrahim pada satu sidang media Isnin lalu menyatakan rasa kesal atas tindakan keras polis yang melampau terhadap perhimpunan aman belakangan ini kerana berhimpun secara aman adalah hak asasi rakyat.
Kenyataan itu bagaimanapun diselar Timbalan Presiden Pewaris, Rahimuddin Md Harun yang menyifatkan kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin seperti beliau.
Rahimuddin semalam dilaporkan berkata, tindakan Abdul Khalid yang meminta Kerajaan Persekutuan dan polis supaya mengkaji semula undang-undang berkaitan perhimpunan awam di negara ini dilihat mampu menghasut dan menggalakkan rakyat untuk menyalahi undang-undang.
Mengulas lanjut mengenainya, Abdul Khalid berkata, undang-undang tidak patut disalahgunakan demi kepentingan politik pihak tertentu sehingga masyarakat awam hilang keyakinan terhadap institusi polis.
“Undang-undang berhubung dengan perhimpu-nan orang awam wajar dikaji semula supaya selaras dengan prinsip asas Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan