MALAYSIA KINI
Walaupun mendakwa menerima ugutan melalui telefon, Aminah Abdullah tidak mudah mengundur. Beliau malah terus menyerang PKR dengan mendakwa pemimpin kanan parti ada isu di sebuah hotel.
Calon bebas itu menambah, Bernama melaporkan, beliau akan membongkar satu peristiwa yang dikaitkan dengan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim dalam masa terdekat.
"Saya nak ingatkan Zahrain supaya jangan mencabar saya. Saya nak tanya sama ada dia masih ingatkah lagi dengan peristiwa di sebuah hotel di Jawi pada 2007?" katanya, dikenali juga sebagai Kak Min.
"Kak Min minta dia jawab dalam tempoh 24 jam dan jika tidak, Kak Min akan dedahkan kepada umum. Maruah dibayar dengan maruah," Aminah dipetik berkata selepas berkempen mengedar posternya dengan simbol kunci menjelang pilihanraya kecil DUN Penanti, Ahad ini.
Menurut agensi berita itu, Aminah berkata beliau telah memaklumkan kes Zahrain, sekarang ahli parlimen Bayan Lepas, kepada penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Tapi tiada tindakan diambil. Saya ada faktanya," Aminah dilaporkan berkata.
Beliau diminta mengulas kenyataan Zahrain semalam bahawa PKR sedang menimbang tindakan undang-undang jika bekas pemimpinnya itu terus membuat pelbagai dakwaan terhadap parti itu.
Aminah menambah, beliau tidak akan menarik balik kenyataannya atau memohon maaf kerana beliau berada di pihak yang benar.
Mengenai ugutan yang dibuat oleh seorang pemanggil yang tidak
dikenalinya, Aminah menyifatkan orang itu sebagai pengecut kerana membuat panggilan ke telefon bimbitnya daripada pondok telefon awam.
"Kalau mereka berani, pakailah telefon yang saya boleh hubungi mereka balik. Apa nak takut pada Kak Min?" katanya.
Isnin lepas, Aminah mendakwa ditawarkan ganjaran RM80,000 dan jawatan yang dipertua sebuah majlis perbandaran jika menarik diri daripada bertanding.
Jika berjaya mengalahkan calon PKR Mansor Othman, beliau mendakwa ditawarkan pula jawatan timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang.
Aminah juga menafikan tuduhan dua wakil PKR, Cheah Kah Peng dan Lim Eng Nam, bahawa beliau memerangkap mereka untuk datang ke rumahnya di Jelutong.
"Memang hubungan Kak Min dengan kedua-duanya adalah baik dan mereka selalu dijemput untuk datang makan di rumah atau apabila Kak Min membuat jamuan atau pada hari raya.
"Tetapi, pertemuan pada 13 Mei itu bukan Kak Min yang jemput mereka, seorang daripada mereka yang menghubungi Kak Min," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan