HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Mei 2009

Letak ceti di bawah Kementerian Kewangan

Oleh SUHANA MD. YUSOP


KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan meletakkan syarikat pinjaman wang berlesen di bawah Kementerian Kewangan bagi memastikan tindakan membanteras kegiatan ah long dan peminjam wang haram dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Ma'amor Osman berkata, pada masa ini syarikat pinjaman berlesen terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Penguatkuasaan sedia ada dilihat tidak berkesan sehingga ada syarikat pinjaman berlesen turut bertindak seperti ah long serta tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan berhubung kadar faedah sebanyak 18 peratus.

"Terdapat syarikat berlesen mengenakan kadar faedah lebih 18 peratus tetapi tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas laporan mengenai tindakan kejam ah long yang mengurung tiga lelaki berusia 29 hingga 45 tahun sejak April lalu di sebuah bilik sebesar tandas di Serdang Raya dan diseksa bagaikan tawanan perang.

Di samping itu, PPIM menyifatkan perundangan sedia ada tidak mencukupi bagi membanteras kewujudan sindiket haram ah long hingga menyebabkan penganiayaan kepada peminjam.

Sehubungan itu, Ma'amor meminta pihak polis menguatkuasakan sepenuhnya tindakan buang daerah terhadap ah long bagi memastikan mereka tidak terus bergerak aktif.

Tiada ulasan: