BERITA HARIAN ONLINE
SHAH ALAM: Seorang pengarah seni, Mohan Singh, yang ditemui mati akibat sakit jantung di rumahnya, Isnin lalu, ada menulis nota supaya mengingatkannya untuk solat dan mengingati Allah, Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam diberitahu.
Pembantu Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Abdul Rahman Abdullah, berkata perkara bernombor 6 hingga 8 pada nota itu mengaitkan Mohan Singh atau nama Islamnya, Mohd Azari Shah Mohd Abdullah dengan Islam.
Katanya, beliau mengetahui mengenai nota itu daripada teman serumah Mohan Singh, Ng Lum Weng yang juga mendakwa nota itu sebahagian daripada bahan untuk set penggambaran.
Beliau berkata, Ng memberitahunya, ada sekeping nota dengan 10 perkara yang bertajuk Exercise to read everyday in the morning yang ditulis sendiri oleh si mati, sebelum itu dilekatkan di pintu masuk ke bilik si mati.
Katanya, Ng memaklumkan nota itu sudah diambil polis sebagai bahan bukti.
"Apa yang saya ragukan, dia (seolah-olah) cuba ubah hidup. Perkara nombor 6 berbunyi 'To learn to pray. Find a way to the mosque. Might get the answer there.
"Perkara ke-7 ialah 'Remember Allah because Allah loves everyone. He forgives and loves . Allah will accept me' dan yang ke 8 ialah Must say prayers before eating," katanya.
Abdul Rahman memberi keterangan pada perbicaraan permohonan pengesahan status pengislaman Mohan Singh yang difailkan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Mais, Che Mohamad Noorlee Abdullah Lee, pada 26 Mei lalu, sehari selepas Mohan Singh ditemui mati di rumahnya di Apartmen Harmoni, Damansara Damai, Petaling Jaya, akibat serangan jantung.
Mayat Mohan Singh kini disimpan di bilik mayat Hospital Sungai Buloh sejak beliau meninggal dunia Isnin lalu selepas pengurusan Hospital Sungai Buloh membuat keputusan untuk menyimpan mayatnya sementara merujuk persoalan mengenai agama sebenar lelaki itu kepada Mais.
Mahkamah dimaklumkan, Mohan Singh yang memeluk Islam pada 11 Ogos 1992 di Pulau Pinang. Selepas memeluk Islam, Mohan Singh pernah berkahwin dengan seorang wanita berketurunan Iban yang beragama Kristian, Alice Ajan pada 12 September 1997 dan mempunyai anak perempuan bernama Sharon Simran Kaur.
Che Mohamad Noorlee memberitahu mahkamah carian yang dijalankan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan Mohan Singh tidak pernah membuat permohonan pindaan status agama pada kad pengenalannya selepas memeluk Islam.
Selain itu, katanya, akibat timbul isu agama sebenar Mohan Singh, beliau meminta kebenaran keluarganya untuk ke rumah sewa lelaki itu di Apartmen Harmoni bersama-sama sembilan lagi rakan setugas dari Mais termasuk Abdul Rahman dan keluarga serta peguam keluarga Mohan Singh, Rajesh Kumar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan