Azamin Amin
KUALA LUMPUR - Umno dilihat menggunakan ulama tertentu untuk menghentam PAS dan Pakatan Rakyat apabila timbulnya isu mogok lapar di Perak namun ulama yang sama tidak pula mengulas dan memberi hukum dari sudut agama berhubung kemelut rampasan kuasa dan krisis yang berlaku di negeri itu.
AJK PAS Pusat Hanipa Maidin menyatakan begitu mudah ulama-ulama ini menghukum mogok lapar tersebut adalah haram tetapi tidak langsung mengeluarkan pendapat mereka tentang perkara-perkara berikut antaranya penggunaan dan kekerasan pihak polis di Sidang Dun Perak, drama rampasan kuasa dan fitnah terhadap Dato' Seri Nizar Jamaluddin yang kononnya derhaka kepada Sultan Perak.
"Saya tidak pasti bagaimana kedua-dua tokoh agama ini melihat krisis Perak. Atau dengan lebih terang lagi saya tidak pasti adakah mereka benar-benar memahami krisis Perak ini ?" katanya dalam blognya.
Beliau merujuk kepada pendapat mantan Mufti Johor, Dato' Noh Gadut dilaporkan berkata, amalan mogok lapar haram dan bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah kerana ia boleh memudaratkan dan Mufti Perak , Dato' Harussani juga membidas rancangan Pakatan Rakyat untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan
Ketika ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya," (lihat Mingguan Malaysia 24 Mei)
Hanipa dalam pada itu membangkit persoalan kepada kedua-dua tokoh itu tentang tindakan menangkap sesuka hati sama ada ianya merupakan sebahagian ajaran Islam.
"Kalau ya terangkan kepada kami ayat Al-Quran atau Hadith manakah yang membenarkan hal tersebut ? Adakah diri dan jasad manusia tanpa mengenal agama tidak perlu dihormati ?
Beliau turut memetik kata-kata Syaidina Umar r.a yang pernah menegur dengan keras Gabenor Mesir Amru Al'As apabila anaknya Muhammad memukul seorang rakyat berketurunan Qibti dengan kata-kata berikut :"Sejak bila kamu diberi lesen/permit memperhambakan sesama manusia sedangkan manusia itu dilahirkan oleh ibu-ibu mereka dalam keadaan bebas."
Kata Hanipa lagi, Islam menganjurkan pendamaian dan dalam konteks kes Perak semua pihak tahu ianya boleh diselesaikan apabila dibubarkan Dun dan diadakan pilihanraya semula.
"Mengapakah kedua-dua tokoh agama ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan supaya Dun Perak dapat dibubarkan agar kedamaian dapat pulih semula di Perak," katanya yang juga seorang peguam. - azm _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan