Zuharman MN
KOTA BHARU - Adakah pemimpin Umno sudah dirasuk semangat Penanti, apabila hilang 'jantan' untuk berdepan dengan pemimpin Pakatan Rakyat di pentas terbuka.
Biar pun seribu alasan yang diberi, namun semangat keris bersilang pemimpin Umno hanya mampu dipersembah dalam rumah sendiri dan bukannya di medan tempur.
Mungkin inilah yang berlaku ke atas Naib Presiden Umno, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila menarik diri di saat-saat akhir sebagai panel Hujah anjuran TV9 malam semalam.
Mengikut jadual yang diuar-uarkan TV9, pemimpin Umno itu akan bertemu dengan Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa dalam rancangan tersebut yang dikendalikan Prof Madya Dr Mohamad Agus Yusof.
Pada awal tahun ini, seorang pemimpin Umno yang kini Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Puad Zakarshi juga menarik diri daripada menghadiri wacana anjuran kerajaan negeri di Balai Islam.
Bekas jawatankuasa Umno Kubang Kerian yang enggan dikenali mengakui pemimpin Umno sekarang tidak lagi mempunyai semangat juang tinggi seperti pada awal zaman kemerdekaan.
"Kalau dahulu pemimpin Umno pantang dicabar dan akan tampil mempertahankan perjuangan mereka. Namun sekarang hanya ada beberapa orang sahaja yang berani antaranya Khairy Jamaluddin dan Dato' Shabery Chik.
"Rata-rata pemimpin yang ada hari ini hanya berani bercakap di hadapan tv dan dalam rumah tangga sendiri," katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya pemimpin muda yang ada sekarang hanya memperjuangkan agenda peribadi. Ia dapat dilihat selepas sehari dua menyertai Umno sudah bergaya dengan segala kemewahan.
Seorang penduduk dari Ketereh, Deraman Sidek, 43 berkata, ramai penonton rancangan berkenaan kecewa dengan tindakan Zahid yang enggan berdepan di platform terbuka membincangkan masalah politik wang.
"Orang ramai ternanti-nanti untuk mendengar idea dua tokoh hebat berkenaan sejak beberapa hari lalu," katanya peminat tetap rancangan Hujah.
Pada petang Selasa lalu Husam berkata, pengurusan TV9 telah memaklumkan kepadanya mengenai keputusan Menteri Pertahanan terbabit membatalkan penyertaannya pada saat-saat akhir.
Beliau bagaimanapun tetap hadir ke Sri Pentas sehingga jam 9.30 malam menunggu kehadiran Zahid.
Bagaimanapun bekas pengasas Gerak, Ezam Mohd Noor tiba-tiba muncul menjadi panel bidan terjun pada program tersebut.
Deraman berkata, Ezam bukan tokoh yang sepatutnya muncul pada program terbabit memandangkan hujahnya tidak ke mana-mana dan hanya sekadar syok sendiri. - mj_
Tiada ulasan:
Catat Ulasan