HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Mei 2009

Konvensyen Kelab Penyokong PAS Bakal Mencuri Tumpuan Nasional

Wartawan Buletin


KEMAMAN – PAS akan melakar satu lagi sejarah baru dalam politik arus perdana apabila Konvensyen Kali Pertama Kelab Penyokong PAS Peringkat Kebangsaan diadakan pada 30 Mei depan.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Terengganu Hj Hanafiah Mat@Ramly berkata demikian ketika menghubungi Buletinonline semalam.

Menurutnya Himpunan dan Konvensyen itu akan diadakan di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Kelang, dari jam 8.00 pagi hingga jam 2.00 petang.

Beliau berharap seramai 25 orang ahli Kelab berkenaan dari negeri Terengganu dapat hadir dalam program tersebut sebagaimana diarahkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat.

“Kita harap ada wakil dari empat kawasan iaitu dari Besut, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman,

“setiap kawasan sekiranya dapat menghantar 6 orang ahli, sudah memadai, sebagai permulaan ini,”ujarnya.

Katanya segala persiapan sedang rancak diatur untuk menerima kehadiran lebih 500 peserta dari seluruh negara.

Menurutnya, Konvensyen tersebut akan turut menjadi tumpuan kerana majlis perasmian akan disempurnakan oleh YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS Pusat.

“Walaupun konvensyen diperingkat negeri Terengganu tidak diadakan, perlaksanaan program tersebut diperingkat kebangsaan merupakan kemuncak siri Konvensyen yang telah diadakan di negeri-negeri,

"ia diharap dapat mengumpulkan semua ahli Kelab dari seluruh Negara dibawah satu bumbung,”jelasnya.

Konvensyen yang bertemakan "Berdiri Teguh Menempuh Cabaran" (Stand United, Brave the Challenges) itu, katanya adalah satu forum yang amat penting menentukan masa depan politik PAS.

“Konvensyen akan menggariskan bagaimana struktur dan halatuju Kelab serta kedudukannya dalam organisasi PAS,

“resolusi dari konvensyen ini akan dibawa kepada Muktamar PAS Pusat, untuk diputuskan status ahli-ahli Kelab dan fungsi Kelab dalam PAS,”katanya.

Katanya, antara perkara pokok yang dijangka menjadi perbahasan adalah samada Ahli Kelab Penyokong PAS diterima menjadi ahli penuh atau bersekutu, dan samada Kelab Penyokong PAS akan menjadi satu sayap baru dalam PAS ataupun sebaliknya.

“Semua keputusan ini adalah amat penting bagi menentukan strategi PAS menghadapi pilihanraya akan datang,”tambahnya.

Tiada ulasan: