HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Mei 2009

Bekas MB Perak serah kenderaan rasmi

BERITA HARIAN ONLINE


IPOH: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyerahkan kenderaan rasminya, Toyota Camry dengan nombor pendaftaran AGS 10 kepada kerajaan negeri kira-kira jam 8 pagi semalam.

Beliau ditemani pembantu khasnya, Amran Harun hadir menaiki dua kereta di pintu masuk utama Bangunan Perak Darul Ridzuan di Jalan Istana untuk menghantar semula kenderaan rasmi Menteri Besar itu.

Ketika dihubungi, Amran berkata, kunci kereta itu diserahkan kepada pengawal keselamatan bertugas memandangkan semalam adalah hari cuti hujung minggu untuk kakitangan kerajaan.

Katanya, mereka meninggalkan pekarangan bangunan berkenaan kira-kira setengah jam kemudian menaiki sebuah lagi kereta Toyota Camry berwarna Perak milik Mohammad Nizar.

Difahamkan, Mohammad Nizar sudah memaklumkan kepada pegawai kerajaan negeri berkaitan berhubung pemulangan kenderaan rasmi itu.

Dipercayai pemulangan kenderaan itu ada kaitan dengan keputusan Mahkamah Rayuan, Jumaat lalu yang memperakui Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Tinjauan Berita Harian pula mendapati kereta itu sudah dibawa keluar daripada premis berkenaan untuk diselenggara dan pembersihan sebelum diletakkan kembali ke dalam kawasan pekarangan bangunan pentadbiran kerajaan negeri.

Sebelum ini, kereta itu menjadi antara punca kontroversi apabila Mohammad Nizar enggan menyerahkannya kembali kepada kerajaan negeri selepas Pakatan Rakyat tidak lagi berkuasa sebaliknya terus menggunakannya dengan alasan beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.

Keengganan Mohammad Nizar memulangkan kenderaan itu memaksa Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim mengeluarkan kenyataan menyatakan tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu adalah salah kerana beliau tidak lagi berada dalam kerajaan negeri dan boleh mengelirukan rakyat.

Tiada ulasan: