HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Mei 2009

PKR sedia terima Hashim Suboh

Muda Mohd Noor


PKR Perlis sedia menerima Datuk Hashim Suboh jika bekas ketua penerangan Umno Perlis itu mahu menganggotai parti pembangkang itu.

Pengerusi PKR negeri, Johari Shafie berkata, pihaknya boleh menerima Hashim jika berminat berbuat demikian.

Bagaimanapun, kata Johari, sehingga ini beliau belum menerima permohonan daripada Hashim.

"Tidak ada masalah untuk kita menerima Datuk Hashim. Malah kita akan cadangkan kepada PKR pusat supaya menerima permohonannya.

"Tetapi saya tidak tahu parti yang mana satu dia (Hashim) hendak masuk. Biarlah dia buat kenyataan sendiri mengenai perkara tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hashim sebelum ini menyatakan kesediaannya menyertai pembangkang ekoran kecewa dengan layanan pemimpin Umno Perlis terhadap penyokong-penyokong bekas Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bagaimanapun, Johari enggan mengulas apabila diberitahu Hashim merupakan perwakilan Umno yang meminta ketua Pemuda Umno ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein menggunakan keris ke atas orang bukan Melayu yang mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu.

"Isu keris itu saya tidak mahu komen, isu itu sensitif dan juga isu tersebut sudah lama," katanya.

Sementara itu, timbalan pengerusi DAP Kedah/Perlis Vincent Loo ketika dihubungi berkata, beliau mahu berjumpa Hashim terlebih dahulu.

Katanya, beliau akan menghubungi Hashim dan kalau boleh inin bertemu pemimpin Umno Perlis itu minggu depan.

"Lain-lain perkara saya tidak mahu komen, biar saya jumpa Datuk Hashim dahulu," katanya.

Sementara itu, Hashim dihubungi berkata, kenyataannya ketika berucap dalam perhimpunan agung tersebut telah disalah tafsir dari maksud sebenar.

“Maksud saya ialah Datuk Seri Hishammuddin sebagai menteri pelajaran perlu menggunakan kuasanya untuk menjayakan sekolah wawasan.

“Dia ada kuasa menteri, mengapa tidak guna, jangan buat retorik politk sahaja,” katanya.

Hashim berkata, ekoran ucapannya itu, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu timbalan perdana menteri, telah memanggilnya untuk memberi nasihat.

Tiada ulasan: