HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Mei 2009

RM350 juta bantu usahawan tani

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR


KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerima peruntukan pinjaman tambahan RM350 juta bagi membantu para usahawan dan melahirkan lebih ramai golongan itu.

Menterinya, Datuk Noh Omar berkata, kemudahan pinjaman berjumlah RM300 juta akan diagihkan melalui Agro Bank sementara RM50 juta lagi di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

Bagaimanapun, katanya, pemberian pinjaman di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua itu diutamakan kepada para usahawan yang terlibat dalam program usaha sama dengan syarikat induk melalui konsep mentor-mentee.

Melalui konsep itu, tambahnya, agensi pemberian kredit berupaya mengawal pembayaran balik para peminjam dengan lebih teratur dan terjamin kerana ia dipertanggungjawabkan kepada syarikat mentor yang lebih stabil dari segi kewangan.

"Contohnya, usahawan hanya perlu pasarkan tanaman atau ternakan kepada mentor atau syarikat induk.

"Syarikat induk itu pula tidak membayar terus (produk kepada usahawan) sebaliknya melunaskan hutang bulanan syarikat yang lebih kecil itu kepada Agro Bank dan TEKUN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keusahawanan anjuran Kelab Veteran Utusan Melayu Malaysia (KVUM) di Ampang dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan dan Presiden KVUM, Datuk Raja Ahmad Niza Raja Ismail.

Sementara itu Noh memberitahu, secara umumnya, 50 peratus daripada usahawan tani yang meminjam dengan agensi-agensi di bawah kementerian gagal membayar hutang masing-masing serta tidak dapat dikesan.

Tindakan itu, katanya, menyukarkan kementerian membantu usahawan baru yang ingin menceburkan diri dalam bidang pertanian dan penternakan, akibat pusingan modal yang tidak mencukupi.

"Kepada golongan itu, saya minta mereka tampil memberi penjelasan mengenai kesukaran dihadapi kerana mungkin kita boleh pertimbangkan semula penjadualan pembayaran masing-masing," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Raja Ahmad Niza menerangkan, seminar keusahawanan bertajuk Peluang Perniagaan dan Pembiayaan Modal itu mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 400 permohonan diterima sebelum ini.

Namun, katanya, pihak KVUM hanya berupaya menampung 250 penyertaan pada kali ini namun merancang memperbesarkan bilangan itu pada masa hadapan.

"Mungkin pada masa akan datang, KVUM menganjurkan seminar seperti ini di seluruh negara memandangkan sambutan yang diterima amat positif," katanya.

Seminar sehari secara percuma itu antaranya mendapat kerjasama TEKUN Nasional, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec), Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Agro Bank.

Tiada ulasan: