HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Mei 2009

UMNO Pulau Pinang terguris kenyataan Hock Nan

UTUSAN ONLINE


PULAU PINANG - UMNO Pulau Pinang amat kecewa dengan tindakan Pengerusi Gerakan negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan yang meminta kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali ke negara ini.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir (gambar) berkata, kenyataan tersebut menunjukkan Hock Nan tidak peka dengan perasaan mangsa keganasan komunis satu ketika dulu.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak termasuk Hock Nan supaya tidak cuba mengambil kesempatan dan menjadi 'jaguh' apabila sesuatu isu hangat timbul sebaliknya perasaan semua kaum juga perlu dijaga dengan baik.

''Kita pun tidak tahu macam mana beliau boleh terfikir untuk membuat kenyataan seumpama itu, Hock Nan sepatutnya menghormati dan pada masa sama menjaga hati rakyat negara ini terutama mereka yang sengsara ekoran keganasan komunis.

''Beliau tidak patut buat kenyataan sesuka hati dan sesedap rasa sahaja, perasaan orang lain perlu diambil kira, perkara sensitif tak payahlah cuba dihujahkan, tutup mulut sahaja.

''Kami sangat kecewa dan hati orang Melayu juga terutamanya sudah cukup terguris dengan kenyataan beliau," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hock Nan membuat permintaan itu atas alasan kemanusiaan di samping mendakwa Chin Peng bukan lagi ancaman keselamatan kepada negara.

Kenyataan pemimpin Gerakan itu mendapat bantahan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpendapat permintaan tersebut sebagai tidak wajar.

Tiada ulasan: