HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Mei 2009

Kelab Penyokong PAS Bakal Jadi Sayap Baru Parti

TV ANTARA


PAS sedang membuat persediaan menyerap Kelab Penyokong PAS sebagai satu sayap parti yang sah mengikut perlembagaan parti dalam tempoh setahun lagi.

Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata demikian ketika merasmikan konvensyen kali pertama kelab tersebut diperingkat nasional yang diadakan di Pejabat Daerah Kelang hari ini.

Beliau berkata orang Melayu, Cina dan India adalah adik beradik kerana mereka berasal dari ibu dan bapa yang sama iaitu Adam dan Hawa.

Kata Nik Aziz lagi sepatutnya sudah lama kelab itu diserap sebagai satu lagi sayap dalam PAS sambil menyatakan gerakan Islam di luar negara kagum dengan PAS kerana dapat menyatukan orang bukan Islam untuk menyokong Islam d Malaysia.

Sehubungan itu kajian untuk menaik taraf Kelab Penyokong PAS sebagai dewan atau sayap formal sedang dilaksanakan.

Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata PAS sudah membentuk jawatankuasa teknikal bagi mengkaji perkara tersebut secara mendalam.

"Saya yakin harapan ini akan menjadi realiti selepas Muktamar PAS bulan depan," katanya sambil menambah perkara tersebut adalah penting bagi mengiktiraf keanggotaan masyarakat bukan Islam dalam parti itu.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chaw berkata hanya Islam PAS sahaja yang berjuang untuk keadilan semua kaum dan mengajak semua kaum untuk menyokong PAS.

Sementara itu Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Terengganu Hanafiah Mat pula berkata sudah tiba masanya PAS membuat satu lonjakan paradigma.

Beliau sangat bersetuju dan menyokong Kelab Penyokong PAS dinaiktaraf dan diiktiraf sebagai sebuah sayap parti.

"Pengiktirafan Kelab Penyokong PAS sebagai satu sayap parti akan memberikan lonjakan kepada politik PAS dalam membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke 13 dan persediaan untuk mengambil alih pemerintahan negara,"ujarnya.

Seramai 600 orang perwakilan dari seluruh negara hadir dalam konvensyen yang disifatkan sebagai bersejarah dan sangat meriah itu.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Dewan Pemuda PAS, Salehuddin Ayob, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Azman Shapawi Abdul Rani.

Tiada ulasan: