HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Mei 2009

Selangor arah Ikram, DOSH siasat

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM – Kerajaan negeri mengarahkan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menjalankan siasatan bagi mencari punca sebenar yang menyebabkan Jaya Supermarket di Seksyen 14, Petaling Jaya runtuh semalam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, siasatan itu perlu bermula serta merta di kawasan runtuhan berkenaan yang setakat ini telah mengorbankan empat nyawa.

“Kita telah mengarahkan kerja- kerja meruntuhkan bangunan pasar raya ini dihentikan untuk tempoh seminggu bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan.

“Malah kita juga mengarahkan pihak yang terlibat supaya tidak mengalihkan peralatan yang digunakan untuk kerja-kerja pengubahsuaian bangunan itu agar tidak menjejaskan siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri mengakui kejadian itu berlaku akibat kurangnya aktiviti pemantauan ke atas kerja-kerja pengubahsuaian bangunan berkenaan termasuk daripada segi garis panduan dan peraturannya.

“Dalam perbincangan yang kita adakan bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini, kita akui kurangnya garis panduan dan pemantauan cara kerja bangunan itu diubah suai.

“Bagaimanapun sebalik sahaja siasatan ini dilakukan, kerajaan negeri akan membuat penelitian serta mengumumkan satu garis panduan baru berkaitan kerja- kerja pengubahsuaian dan merobohkan bangunan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memberitahu, ketika ini pihaknya telah mengarahkan MBPJ bekerjasama dengan pihak kedutaan Republik Indonesia untuk menubuhkan pusat maklumat bagi memudahkan keluarga mangsa dan penduduk berhampiran mendapatkan maklumat mengenai perkembangan kejadian tersebut.

Kerjasama itu katanya, turut melibatkan kerja-kerja pengurusan mayat yang terkorban termasuk mereka yang belum ditemui di bawah runtuhan itu.

Tiada ulasan: