HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Mei 2009

Komunis tiada tempat di Malaysia

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Komunis tidak boleh diberi tempat di negara ini kerana dosa mereka membunuh beribu-ribu rakyat Tanah Melayu pada ketika itu tidak boleh dilupai, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Sehubungan itu beliau meminta pemimpin yang melahirkan perasaan positif terhadap bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, supaya menyatakan pendirian mereka dengan jelas dan tidak berlindung di belakang tabir parti politik masing-masing.

“Komen saya mudah, Chin Peng dan komandonya yang bunuh ramai orang dahulu sekali-kali tidak ada tempat bagi kita untuk bermuafakat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan 1Malaysia kepada pegawai kanan kementerian itu di Angkasapuri semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan Parti Gerakan Pulau Pinang supaya Chin Peng dibenar pulang ke Malaysia atas sebab kemanusiaan.

Baru-baru ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia atas sebab kemanusiaan memandangkan keganasan komunis sekitar 50-an tidak lagi diamalkan dan komunisme di seluruh dunia termasuk di China serta Rusia sudah mengalami transformasi.

Rais juga menyeru rakyat Malaysia tidak terburu-buru mengikuti dan meminati pembaharuan dibuat sesetengah pihak khususnya penulis blog yang cuba mendewa-dewakan fahaman komunisme.

“Komunis telah mendera negara ini dan kita telah dibelenggu melalui pembunuhan dan pelbagai tindakan dahsyat, ribuan yang telah mati di tangan komunis sudah cukup bagi kita untuk insaf supaya kita tidak keluarkan sesuatu menyamarkan fikiran kita terhadap satu rejim yang begitu dahsyat ketika dulu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengambil tindakan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pihak cuba memberi gambaran positif terhadap komunis, Rais berkata, beliau akan membawa perkara itu pada mesyuarat Kabinet nanti.

“ISA bukan di bawah bidang tugas saya, tetapi saya sedang berurusan dengan menteri berkenaan supaya dia juga bersiap siaga melihat kecenderungan seperti ini.

“Apa-apa maklumat kita miliki kita akan sampaikan kepada pihak berkuasa pada mesyuarat jemaah menteri minggu ini kerana didapati ada beberapa blog sudah mula muncul seolah-olah beri pujian melahirkan perasaan nostalgia kepada komunisme serta angkara mereka lakukan,” katanya.

Tiada ulasan: