HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Disember 2009

7 penerbangan ubah jadual

UTUSAN OLINE


MEKAH - Hanya 2,800 jemaah haji Malaysia dijangka terlewat pulang ke tanah air ekoran perubahan jadual melibatkan tujuh penerbangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej. Jen. (B) Jamil Khir Baharom berkata, ahli keluarga jemaah terbabit telah dimaklumkan mengenai perubahan jadual penerbangan tersebut.

Menurut beliau, penjadualan semula itu terpaksa dilakukan oleh pihak lapangan terbang negara ini ekoran kerja-kerja penambahbaikan beberapa kemudahan bagi mengelak berlaku gangguan kepada kelancaran pergerakan pesawat.

''Pihak berkuasa lapangan terbang di negara ini mahu mengelak seberapa boleh kejadian di mana ramai jemaah terpaksa menunggu lama di terminal kerana penerbangan tergendala.

''Hanya tujuh penerbangan terlibat dalam penjadualan dan daripada maklum balas yang kita terima, ramai jemaah haji terbabit bersyukur kerana dapat berada lebih lama di tanah suci untuk beribadat," katanya kepada pasukan media Tabung Haji di sini, hari ini.

Malaysia pada musim haji tahun ini menghantar 26,000 jemaah dan hampir semua mereka menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Saudia, iaitu syarikat penerbangan Arab Saudi. Untuk musim haji tahun ini, pihak berkuasa lapangan terbang Arab Saudi mengehadkan hanya empat penerbangan pulang sehari ke Malaysia.

Kebiasaannya seseorang jemaah haji di bawah kendalian Tabung Haji akan berada di tanah suci antara 40 hingga 45 hari termasuk lapan hari di Madinah.

Ditanya mengenai penginapan dan makanan percuma yang disediakan untuk jemaah haji yang terlewat pulang, Jamil menjelaskan bahawa perkhidmatan itu hanya ditawarkan kepada jemaah di bawah Tabung Haji.

Jemaah lain pula, kata beliau, akan diuruskan oleh syarikat-syarikat swasta yang disertai mereka.

Sementara itu, keadaan di dalam dan sekitar Masjidil Haram semakin sesak apabila sebahagian besar jemaah selesai melontar jamrah di Mina dan mula bertumpu ke Masjidil Haram untuk menyelesaikan ibadat haji.

Tinjauan mendapati laluan sa'i dan dataran Kaabah yang mampu menampung hampir 80,000 jemaah pada sesuatu masa terlalu sesak apabila ramai jemaah mahu melakukan tawaf (keliling) di dataran tersebut walaupun ruang untuk tawaf turut disediakan di tingkat dua dan tingkat tiga masjid tertua di dunia itu.

Mulai esok, ramai jemaah Malaysia yang lewat memasuki Mekah akan mula memasuki Madinah untuk beribadat di Masjid Nabawi dan menziarahi Makam Nabi dan makam ahli keluarga dan sahabat Nabi Muhammad SAW.

Pada perkembangan yang sama, akhbar Arab News hari ini memetik Gabenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal berpuas hati dengan pelaksanaan musim haji tahun ini yang dianggapnya berjalan lancar tanpa kejadian besar berlaku.

Beliau berkata, lebih 2.5 juta jemaah (tidak termasuk yang melakukan tanpa permit) tertumpu ke kawasan-kawasan penting ibadat haji termasuk ketika melontar di Kompleks Jamrah di Mina.

''Jika tidak kerana kehadiran 753,000 jemaah yang melakukan ibadat itu secara haram (tanpa permit), kerja-kerja haji tahun ini akan menjadi lebih lancar," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pusat Haji.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Arab Saudi mengarahkan agar kawalan diperketatkan bagi memastikan penduduk negara ini memperolehi permit dan menunaikan ibadat itu melalui agensi-agensi haji yang disahkan.

''Jemaah haji yang melakukan ibadat secara haram ini banyak menimbulkan masalah dan menjejaskan imej negara. Kita menyambut kedatangan jutaan jemaah luar yang datang ke Arab Saudi dengan hormat dan bermaruah. Dan kita mahu mereka pulang juga dengan cara terhormat dan bermaruah.

''Ini kerana mereka adalah tetamu Allah," tegas Putera Khaled.

Tiada ulasan: