HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 Disember 2009

Isu SM persendirian cina: Najib dihujani kritikan

Lim Hong Siang



"PM saran rakyat pelajari Mandarin", demikianlah antara tajuk berita yang dilaporkan selepas Perdana Menteri Najib Abdul Razak menghadiri Majlis Makan Malam Sempena Ulang-tahun ke-90 Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa di Kuala Lumpur pada 14 Disember.

Dalam konteks masyarakat kini, kenyataan Najib sedemikian bukan sesuatu yang baru, memandangkan bahasa Cina atau mandarin telah bangkit sebagai bahasa pengantar yang penting di peringkat global. Saranan ini mungkin hanya mencungkil pertikaian sesetengah masyarakat Melayu, yang bingung dengan dasar bahasa yang cuba diketengahkan kerajaan Barisan Nasional.

Walau bagaimanapun, dari kaca mata masyarakat Cina, fokusnya bukan ditumpukan pada apa yang dinyatakan oleh Najib, tetapi apa yang dilaksanakan oleh Najib. Ucapan Najib kira-kira 30 minit pada malam kelmarin hanya meninggalkan buih, yang pecah bersama harapan masyarakat Cina, sebelum beliau sempat bergegas ke parlimen untuk menyumbang undi agar Belanjawan sulungnya selepas menjawat PM itu diluluskan.

Sekolah aliran bahasa Cina

Namun demikian, apa yang berlaku sebenarnya jauh lebih menarik daripada apa yang terpapar dalam media arus perdana. Isu ini perlu dibaca dalam konteks masyarakat Malaysia, khususnya komuniti Cina, untuk memahami bagaimana kehadiran PM Malaysia buat sulung kalinya ke sebuah SM Persendirian Cina, yang disambut dengan harapan melambung, namun diakhiri dengan kritikan yang menghujani.

Sekolah aliran bahasa Cina menjadi pertikaian dalam politik tanahair sejak awal lagi, namun menjadi isu asas yang dikongsi bersama antara parti politik yang bertunjangkan komuniti Cina, sama ada dari pemerintah mahupun pembangkang. Pertikaian terhadap kedudukan sekolah aliran Cina akan mencungkil saraf komuniti Cina, khususnya pertubuhan seperti Dong Jiao Zong.

Untuk sekian lama, komuniti Cina tidak berpuas hati kerana peruntukan yang tidak saksama (tidak mengikut nisbah) kepada sekolah aliran bahasa Cina. Malah, sekolah rendah aliran bahasa Cina tidak ditambah bina walaupun permintaan semakin banyak. Sekolah menengah persendirian Cina pula terasing dari sistem pendidikan negara, bahkan tidak diakui sijilnya biarpun melahirkan bakat yang diiktiraf universiti terkemuka di dunia.

Selepas tsunami politik...

Namun, senario "politik lama" ini berubah selepas tsunami politik pada 8 Mac 2008. Kerajaan negeri Pakatan Rakyat menganjurkan dasar yang lebih terbuka untuk sekolah aliran Cina, dengan memperuntukkan dana mahupun tanah kepada sekolah rendah jenis kebangsaan dan sekolah menengah persendirian Cina.

Situasi ini memaksa BN untuk berubah, misalnya mengumumkan peruntukan RM 1 juta kepada SRJK (c) Sin Min ketika berkempen untuk PRK Bukit Gantang, walaupun kemudiannya TPM Muhyiddin Yassin (gambar kiri) merungut bahawa pengundi Cina "macam tidak ada penghargaan terhadap apa yang kita (BN) lakukan".

Kenyataan Muhyiddn Yassin yang disiarkan dalam wawancara bersama Utusan Mingguan ini telah dihujani pelbagai kritikan dari komuniti Cina. UMNO, khususnya Najib semakin sedar bahawa dirinya perlu mengambil "jalan tengah" dalam politik perkauman di Malaysia. Maka, slogan "1Malaysia" dilaungkan sebagai gagasan politiknya sebaik sahaja menerajui kerajaan.

Untuk mengekalkan kuasa UMNO-BN, Najib terpaksa mendampingi masyarakat bukan Melayu dan bukan muslim. Keadaan semakin terdesak di saat-saat kedua-dua parti komponen perkaumannya, MCA dan MIC dilanda krisis. Maka, lawatan Najib ke SM Persendirian Chong Hwa ini dibaca sebagai pendekatannya untuk mengembalikan sokongan masyarakat bukan Melayu atas kredibiliti dirinya.

Dilambung harapan tinggi

Kehadiran Najib Abdul Razak telah digemparkan oleh media cetak bahasa Cina dan pertubuhan-pertubuhan Cina. Misalnya, Sin Chew Daily pada 14 Disember telah menonjolkan hujah Najib bahawa "sekolah menengah persendirian Cina merupakan aset penting negara" yang melahirkan bakat-bakat yang unggul.

Lebih-lebih lagi, Sin Chew Daily menyiarkan gambar SM Persendirian Chong Hwa yang sudah dihiasi dengan banner Najib di muka surat depannya. Majlis Makan Malam yang bakal dihadiri lebih daripada 10 ribu orang ini telah direka khas dengan bertemakan "1Malaysia" yang diuar-uarkan oleh Najib.

Komuniti Cina telah dilambung dengan harapan yang tinggi lantaran penampilan sedemikian. Masing-masing menjangkakan sesuatu daripada PM, sama ada dalam bentuk "gula" mahupun pengumuman dasar baru terhadap sm persendirian cina. Harapan ini ditolak ke puncaknya apabila wakil rakyat PR, Teo Nie Ching dan Lee Boon Chye mencabar PM untuk mengiktiraf sijil sm persendirian Cina.

Dihujani kritikan

Walau bagaimanapun, komuniti Cina ditimpa kekecewaan yang menjunam dari lambungan harapan selepas Najib berucap kira-kira 30 minit pada malam tersebut. Tiada sebarang pengumuman penting dari segi dasar untuk sekolah aliran bahasa Cina, malah "sisa gula" pun tidak diberikan.

Najib (gambar kiri) dengan panjang lebar mengulas rekod bagaimana dirinya meminda Akta Pendidikan 1996 ketika menyandang jawatan Menteri Pelajaran untuk menjamin kedudukan sekolah aliran bahasa Cina. PM ini juga mengambil kesempatan menjelaskan konsep "1Malaysia"-nya, sebelum bergegas ke parlimen untuk "menyelamatkan" Belanjawan 2010-nya.

Tiada wang diperuntukkan. Kesudahan ini telah memberi tamparan yang hebat kepada pemimpin Cina yang cuba memberi gambaran "feel good" sebelum ini. Pemimpin-pemimpin Cina yang serba-salah ini akhirnya perlu memberi penjelasan bahawa Najib sudah berjanji untuk mempertimbangkan agar tanah diberikan kepada sm persendirian ini, agar tidak kelihatan begitu kekok apabila berdepan dengan media.

Sememangnya, media cetak bahasa Cina yang sebelum ini kelihatan "ghairah", tidak melanjutkan "kehampaan" yang dibawa Najib. Kekecewaan ini telah membanjiri laman internet. Selain kenyataan pembangkang, Lim Kit Siang yang sempat mengusik Najib dengan KPI-nya, kerana gagal melaksanakan kata-kata, penganalisa politik turut membidas sikap "cakap tak serupa bikin" ini.

Iktiraf, tetapi tiada peruntukan?

Phoon Wing Keong (gambar kanan), penganalisa politik ketika ditemuramah Malaysiakini, mempertikaikan keikhlasan Najib untuk mengiktiraf sm persendirian Cina. Untuk Phoon Wing Keong, Najib sekadar mengiktiraf kewujudan sm persendirian Cina, tetapi tidak memberi pengiktirafan dari segi perundangan. Malah, Phoon menganggap Najib perlu memperuntukkan sumber untuk membantu sm persendirian Cina, dan bukan sekadar janji mulut.

Jelas, janji mulut telah gagal untuk memukau hati pengundi. Semakin ramai yang celik untuk membezakan antara kata-kata manis dengan langkah-langkah konkrit. Dalam hujan kritikan terhadap Najib ini, wujudnya juga kritikan terhadap pemimpin Cina yang mengelolakan majlis ini.

Jari dituding ke arah pemimpin Cina yang dianggap terlalu "memuja" Najib, bagaikan pengampu. Tindakan pemimpin Cina yang menyediakan pentas untuk menunggu taburan "gula" daripada Najib dianggap tidak realistik, kerana tidak memberi impak dari segi sistem pendidikan.

Akhir kata, Najib mungkin merasakan dirinya menang kerana kegemuruhan tepukan yang dinikmatinya kelmarin. Namun, ia semestinya satu tanggapan yang salah jika mengabaikan reaksi di laman internet, sebagaimana tanggapan palsu yang diberikan olehnya kepada komuniti Cina sebelum ini.

*Lim Hong Siang ialah editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Tiada ulasan: