KLPOS.COM
KEBANYAKAN peniaga Melayu/Islam di Dubai, yang sebelum ini terjejas oleh kegawatan ekonomi dunia lebih setahun lalu, kini berasa lebih tertekan menyusuli masalah krisis kewangan Dubai baru-baru ini.
Mereka berkata perniagaan mereka yang dijangka baru hendak 'bernafas' semula selepas mengharungi kegawatan ekonomi dunia, kini menjadi semakin tidak menentu menyusuli perkembangan baru di Dubai itu.
Ada antara mereka menyatakan penjualan merosot sehingga 50 peratus disebabkan kuasa membeli yang menurun serta golongan ekspatriat dan bilangan pelawat asing yang berkurangan di bandar Amiriah Arab Bersatu (UAE) itu.
Namun tinjauan Ekoniaga juga mendapati ada juga perniagaan makanan dan minuman (F&B) milik peniaga Melayu/Islam Singapura di sana yang tidak banyak terjejas malah menjangkakan peningkatan perniagaan dalam beberapa bulan akan datang.
Seorang peniaga minyak wangi berjenama di Dubai, Cik Rahema Ahmad, berkata perniagaannya telah pun merosot sekitar 50 peratus sejak krisis ekonomi sejagat lebih setahun lalu.
Syarikatnya, yang menjalankan perniagaan sejak 1989, mempunyai dua kedai runcit dan membekalkan lebih 200 hingga 300 minyak wangi berjenama seperti Christian Dior dan Hugo Boss ke sekitar 150 kedai di sana.
'Krisis kewangan Dubai baru-baru ini memburukkan lagi perniagaan kami. Banyak perniagaan yang menurunkan harga dengan banyak kerana ingin mendapatkan wang tunai. Walaupun banyak projek besar yang terjejas teruk, kami yang kecil juga kena tempiasnya.
'Perniagaan kami tidak banyak bergerak, semakin sukar dan urus niaga juga rendah. Sekitar 30 peratus penjualan kami terjejas sejak sebulan lalu kerana para pelanggan dan para pembekal produk kami, mengurangkan pembelian mereka. Mereka kini hanya menggunakan wang tunai dan enggan menggunakan kredit,' tambahnya.
Pemilik syarikat pembekal kayu gaharu Singapura yang menjadi pengedar di Dubai, Encik Mohammad Khalifah Abdul Rahman, berkata penjualan perniagaannya merosot 50 hingga 60 peratus sejak setahun lalu sehingga krisis kewangan baru-baru ini.
'Permintaan para peruncit yang mahu mendapatkan bekalan produk kami sememangnya berkurangan sebab kayu gaharu bukanlah keperluan asas. Jadi jika pembekal dan perniagaan mereka terjejas, produk kami inilah yang mereka hentikan dulu.
'Namun disebabkan para pelanggan kami adalah para pelanggan tetap, kami masih dapat bertahan. Justeru, penjualan kami walaupun terjejas baru-baru ini, ia tidak banyak berubah sejak setahun lalu. Kami harapkan selepas enam bulan, keadaan ekonomi di Dubai menjadi bertambah baik,' tambahnya.
Syarikat yang mendapatkan bahan mentah kayu gaharu dari Indonesia dan Malaysia itu membekalkan produk itu kepada sekitar 40 peruncit di Dubai.
Pengurus Besar syarikat teknologi maklumat (IT) Singapura di Dubai, Grandsys Computer, Encik Ramli Sulaiman, juga berkata perniagaan syarikatnya merosot 20 hingga 30 peratus.
'Sebenarnya perniagaan di sini sudah pun terjejas sejak satu setengah tahun lalu. Dengan berita krisis Dubai baru-baru ini, ia bukanlah sesuatu yang baru.
'Banyak pesaing kami menjadi semakin lemah, justeru, masa yang baik untuk kami meneruskan perniagaan. Kami berharap dalam tempoh enam bulan lagi keadaan akan menjadi bertambah baik,' tambahnya.
Pemilik restoran Mutiara, Cik Zaiton Jalil, pula berkata perniagaannya juga terjejas dengan kegawatan ekonomi sebelum ini.
Beliau kini mempelbagaikan perniagaannya dengan membuka francais makanan segera Korea bersama rakan kongsi baru dari Korea.
'Bagi restoran Mutiara pula, saya dan rakan kongsi perniagaan itu akan memindahkan perniagaan kami ke kawasan bandar yang mempunyai ramai pekerja Malaysia pada awal tahun depan sebagai strategi perniagaan agar dapat terus bertakat,' tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan