HALAMAN SANTAI

Sabtu, 12 Disember 2009

Tunang tidak wajar tanggung pasangan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Pasangan yang mengikat tali pertunangan perlu tahu status mereka dan tidak digalakkan menanggung perbelanjaan pasangan masing-masing bagi mengelakkan perasaan marah dan dendam sekiranya berlaku perpisahan.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadot, berkata Islam tidak menetapkan hukum setiap pasangan bertunang menanggung perbelanjaan pasangan masing-masing.

“Perlu ingat, bertunang bukannya status sebagai suami isteri, jadi tidak perlu berbelanja ratusan ribu ringgit kerana setiap ikatan tidak semestinya berakhir dengan kegembiraan.

“Begitu juga majlis pertunangan masa kini masing-masing berebut mengadakan majlis besar-besaran, apabila berlakunya perpisahan salah seorang pasangan akan marah dan dendam sehingga berlakunya kes saman berikutan banyak wang sudah dilaburkan,” katanya mengulas seorang pegawai bank, Nor Daliya Mohd Daud, 34, disaman hampir RM1 juta oleh bekas tunangnya sebagai ganti rugi kerana memutuskan pertunangan mereka, lebih setahun lalu.

Saman dikemukakan RM871,186.57 termasuk RM570,000 bagi pembiayaan rumah yang ditanggung plaintif, RM208,594 bagi kos ubah suai serta barang rumah, RM15,000 kos ejen hartanah, RM20,000 bagi bayaran muka untuk membeli kereta baru Honda Civic defendan dan RM57,092.57 bagi bayaran yang dibuat dalam akaun dan kad kredit defendan.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata tindakan lelaki terbabit menuntut segala kerugian terhadap bekas tunangnya dibolehkan kerana menganggap sudah memungkiri janji.

“Banyak wang dilaburkan kepada perempuan ketika bergelar tunang, jadi dia berhak tuntut semula kerugian kerana perempuan itu meminta pertunangan diputuskan.

“Islam membenarkan tindakan lelaki itu meminta kerugian dan tidak boleh menganggap harta dilaburkan itu hadiah untuk memikat hati kerana perempuan terbabit sudah mungkir janji,” katanya.

Tiada ulasan: