SEREMBAN - Hasrat balu Achik Spin, H. M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof atau Tasha untuk bekerja bagi menanggung keluarga mengundang simpati sebuah kolej swasta di sini yang terus menawarkannya bekerja di kolej tersebut.
Tawaran dikemukakan oleh penasihat dan pemilik East West College (EWC), Prof. Datuk Dr. Abdul Murad Ahmad kepada ibu tunggal dua anak itu hari ini.
Menurut Tasha, 26, beliau menerima tawaran itu dengan rasa terharu dan sangat berterima kasih namun terpaksa menangguh niat untuk bekerja kerana anak-anak masih trauma dengan kematian ayah mereka.
"Niat hati memang nak keluar bekerja sekurang-kurangnya dapat juga saya lupakan apa yang menimpa. Tetapi saya harus memikirkan anak-anak terutama yang sulung masih trauma dan enggan langsung berenggang dengan saya.
"Insya-Allah dalam masa tiga bulan lagi, bila keadaan sudah tenang saya akan keluar bekerja," katanya selepas majlis penyerahan bantuan dan tawaran kerja di kampus kolej itu di Dataran Sentral dekat sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Tasha yang ditemani ibu Achik Spin, Badariah Awaluddin, 54, serta dua anaknya, Puteri Nur Sayyia, 3, dan Puteri Nur Sumayya, 11 bulan, menerima sumbangan RM1,500 serta bekalan makanan daripada Abdul Murad.
Tasha yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan daripada sebuah kolej berkata, beliau memilih untuk bekerja di pejabat demi menjaga keseimbangan masa bersama anak-anaknya.
"Walaupun sudah bekerja nanti, saya harus memikirkan tentang anak-anak yang masih kecil. Apatah lagi sebelum ini mereka tidak pernah diasuh oleh orang lain," katanya yang kini menetap bersama keluarganya di Taman Desa Ros, Ampangan.
Beliau pernah bekerja dengan sebuah syarikat penyiaran Astro kira-kira setahun sebelum membuat keputusan berhenti setelah berkahwin dengan Achik Spin pada 2005.
Achik Spin atau nama sebenarnya, Abdillah Murad Md. Shari, 27, meninggal dunia pada 17 April lalu dalam satu kemalangan di Kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas).
Dalam pada itu, menurut Abdul Murad, selain tawaran kerja, Yayasan Murad turut memberikan bantuan makanan secara bulanan kepada Tasha dan Badariah yang juga ibu tunggal.
"Ini adalah sebahagian program amal dan kemasyarakatan Yayasan Murad untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.
"Mengenai tawaran kerja, Tasha boleh bekerja bila-bila masa saja yang dia mahu kerana dia diberi keutamaan dalam usaha meringankan bebannya untuk menanggung keluarga selepas kematian suami," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan