SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memulakan siasatan berhubung kenyataan Datuk Zaid Ibrahim yang mempertikaikan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai larangan berpolitik di masjid.
Pengarahnya, Datuk Muhamed Khusrin Munawi berkata, siasatan mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor itu bermula semalam selepas pihaknya menerima aduan daripada beberapa pihak.
Menurut beliau, buat permulaan jabatannya akan memanggil pihak media yang melaporkan kenyataan Zaid yang juga penyelaras pakatan pembangkang bagi membantu siasatan.
''Kita akan panggil semua media yang melaporkan kenyataan Zaid tidak lama lagi.
''Jika perlu kita akan panggil Zaid juga bagi membantu siasatan," kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada JAIS akan menyiasat kenyataan Zaid kerana mempertikaikan titah Sultan Sharafuddin mengenai larangan berpolitik di masjid.
Zaid menganggap titah baginda berhubung larangan berpolitik di masjid sebagai pandangan peribadi dan perlu terlebih dahulu dirujuk kepada dewan undangan negeri (DUN)
Menurut Muhamed Khusrin, selepas siasatan selesai, pihaknya akan mengemukakan hasil siasatan kepada pihak pendakwa syarie untuk diputuskan bagi tindakan selanjutnya iaitu pendakwaan.
Jelas beliau, siasatan mengikut Seksyen 12 (a) ini bukan hanya membabitkan Zaid sahaja tetapi semua pihak yang mempertikaikan titah Sultan Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan