HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Mei 2010

Gagal patuhi syarat: Dua kem PLKN ditutup sementara

UTUSAN ONLINE


Abdul Hadi Awang Kechil (berkemeja putih) bergambar dengan sebahagian daripada 181 pelatih PLKN Kem Ayer Keroh yang menyertai latihan menembak di Lapang Sasar Kem Terendak, Melaka, semalam. - UTUSAN/Gaie Uchel


MELAKA - Operasi dua buah kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Pahang dan Negeri Sembilan ditutup sementara berikutan kegagalan pihak pengurusan kem berkenaan mematuhi syarat penyelenggaraan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, salah sebuah kem terbabit adalah Kem PLKN Summerset, Rompin yang ditutup buat kali kedua setelah pernah dikenakan tindakan sama pada Mac tahun lalu.

Menurutnya, kem itu diarah tutup serta-merta berkuat kuasa hari ini setelah gagal menyediakan kemudahan prasarana yang sempurna kepada pelatih.

''Sehubungan itu, kita terpaksa memindahkan 265 pelatih PLKN dari kem tersebut ke kem berhampiran bagi menyambung latihan," katanya pada sidang akhbar sewaktu meninjau latihan menembak kira-kira 181 pelatih PLKN Kem Ayer Keroh di Lapang Sasar Kem Terendak di sini hari ini.

Kata Abdul Hadi, selain Kem PLKN Summerset, pihaknya turut mengarah tindakan yang sama diambil terhadap kem PLKN Titian Bintangor, Rembau kerana gagal mematuhi syarat jadual penyelenggaraan sehingga menjejaskan keselesaan pelatih.

Menurutnya, kem tersebut yang menampung 260 pelatih diarah tutup sejak sebulan lalu.

''Kita sudah memberi amaran kepada pihak pengurusan kedua-dua kem terbabit namun mereka masih gagal menyediakan kemudahan prasarana dan tahap kebersihan yang ditetapkan," katanya.

Menurut beliau, dengan penutupan sementara dua buah kem PLKN itu, kini hanya terdapat 77 buah kem PLKN yang beroperasi di seluruh negara.

Bagaimanapun jelas beliau, pihak pengurusan dua kem terbabit masih berpeluang untuk beroperasi semula sekiranya mereka mampu mengatasi masalah yang timbul.

Beliau memberitahu, tempoh selama tiga bulan diberikan kepada pihak pengurusan kedua-dua kem terbabit untuk membaiki kelemahan yang berlaku di kem masing-masing sebelum notis arah tutup operasi ditarik semula oleh JLKN.

Tiada ulasan: