HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Mei 2010

Mahu tonjol kemewahan punca lelaki muda berhutang

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Sifat suka menonjolkan diri dengan penampilan yang mewah menyebabkan ramai golongan lelaki muda sanggup berhutang walaupun hakikatnya mereka belum mampu untuk berbuat demikian.

Tinjauan wartawan unit khas Utusan Malaysia hari ini mendapati rata-rata lelaki muda mengakui golongan itu terlalu gelojoh untuk memiliki kereta, motosikal berkuasa besar, rumah dan kad kredit.

Pembantu Pegawai Tadbir, Asroy Shah Remy Tukiman, 24, berkata, sifat terburu-buru orang muda yang ingin memiliki harta dan barangan mewah dalam tempoh singkat merupakan antara faktor yang menyumbang kepada masalah mereka berhutang.

''Baru bekerja setahun jagung, terus memiliki kereta, rumah, pakaian berjenama termasuk barangan bukan keperluan.

''Tidak salah jika mahu berbuat demikian, tetapi lihat pada pendapatan bulanan, tabungan dan pengurusan kewangan, jangan disebabkan terpengaruh dengan rakan-rakan sahaja,'' katanya ketika ditemui.

Laporan Khas Utusan Malaysia hari ini mendedahkan lelaki muda merupakan golongan yang paling ramai dibelenggu hutang kerana kegagalan menguruskan kewangan.

Golongan tersebut dikatakan mula mengumpul hutang sejak awal bekerja sehingga hutang semakin bertimbun dan akhirnya terpaksa mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Pembantu penerbitan, Lilydiawati Baharudin, 28, berkata, golongan lelaki muda yang boros sebenarnya terpengaruh dengan gaya hidup mewah khususnya di bandar-bandar besar.

''Jika mereka amalkan gaya hidup yang sederhana sudah pasti mereka dapat berjimat tanpa perlu banyak berhutang,'' katanya.

Seorang kakitangan awam, Norshazwani Sobri, 24, berkata, masalah boros di kalangan lelaki muda tidak seharusnya berlaku memandangkan golongan itu akan menjadi ketua keluarga apabila sudah berkahwin.

''Jangan menunjuk-nunjuk hidup mewah kerana ingin memikat perempuan hingga sanggup berhutang, semua itu tidak penting,'' katanya.

Tiada ulasan: